KOTA TINGGI: Cuaca panas dan tiupan angin kencang menyebabkan operasi pemadaman kebakaran terbuka membabitkan kawasan hutan paya gambut seluas kira-kira 51.4 hektar di Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai yang berlaku sejak semalam, sukar dijalankan.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor PKPgB Baharuddin Idris berkata kawasan kebakaran tersebut dibahagikan kepada dua sektor iaitu Sektor A seluas 35.6 hektar dan Sektor B seluas 15.8 hektar.
Beliau berkata sehingga kini kira-kira 9.7 peratus kawasan kebakaran di Sektor A berjaya dikawal, manakala Sektor B telah berjaya dikawal.
"Kesukaran utama kita ialah angin kencang, cuaca panas dan sumber air yang terhad. Bagaimanapun, kita amat menghargai bantuan agensi lain yang membantu menyediakan bekalan air. Keadaan ketika ini agak mencabar berikutan tiupan angin yang kuat dan cuaca panas, selain sumber air terbuka yang terhad.
"Kita mendapatkan bekalan air secara ulang-alik menggunakan tangki air bomba dengan bantuan agensi berkaitan termasuk Ranhill SAJ," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Baharuddin berkata operasi pemadaman dilakukan menerusi kaedah direct attack, selain pihaknya menunggu bantuan dua jentera ekskavator daripada agensi lain yang dijangka tiba tengah hari ini.
Beliau berkata JBPM turut memerlukan ekskavator bersaiz lebih besar dan jenis amfibia bagi membolehkan jentera beroperasi di kawasan hutan dan tanah paya, selain membantu mewujudkan firebreak, khususnya di Sektor A.
Mengulas risiko kebakaran merebak, katanya kemungkinan tersebut masih ada sekiranya keadaan angin bertambah kuat, namun Sektor B kini telah berjaya dikawal.
"Kita berharap jika cuaca tidak terlalu panas, kita dapat memadamkan kebakaran di sebelah sana (Sektor B). Tetapi di Sektor A kita masih memerlukan bantuan untuk membuat firebreak menggunakan ekskavator amfibia," katanya.
Beliau berkata kebakaran itu tidak mengancam penempatan penduduk kerana kawasan perumahan terdekat di Sebana Cove terletak kira-kira tiga kilometer, manakala kawasan Punggai pula sekitar empat hingga lima kilometer dari lokasi kebakaran.
Sementara itu, jalan terlibat ditutup sepenuhnya kepada orang awam sejak 2 petang semalam bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran operasi pemadaman.
Baharuddin berkata kawasan kebakaran dikategorikan sebagai tanah pertanian, dengan sebahagian kecil kawasan berhampiran melibatkan tanah milik Felda Keledang yang mempunyai tanaman kelapa sawit, manakala kawasan lain masih belum ditanam.
Mengenai punca kebakaran, beliau berkata masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Bagaimanapun, terdapat unsur orang awam memasuki kawasan berkenaan, termasuk kemungkinan aktiviti memancing namun kita tidak dapat dipastikan sama ada perkara itu mempunyai kaitan dengan punca kebakaran atau sebaliknya," katanya.
Baharuddin berkata aset yang digunakan dalam operasi pemadaman termasuk dua Fire Rescue Tender, sebuah water tanker, empat Toyota Hilux, satu eskavator dua dam, dua pam angkut dan tiga set generator, dengan kekuatan 21 anggota termasuk empat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melibatkan empat balai bomba.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat Aznan Tamin menasihatkan penduduk setempat supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengelakkan penggunaan Jalan Bypass Punggal yang ditutup berikutan kebakaran tanah gambut bagi memastikan keselamatan.
Beliau berkata asap tebal akibat kebakaran boleh menjejaskan jarak penglihatan dan meningkatkan risiko kemalangan, justeru orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif walaupun perjalanan menjadi sedikit lebih jauh.
"Saya harap penduduk setempat dapat mengikut arahan pihak berkuasa dan menggunakan laluan alternatif walaupun perjalanan menjadi sedikit lebih jauh kerana keselamatan orang awam lebih penting," katanya.
Beliau turut menasihati penduduk di kawasan penempatan berhampiran, khususnya Taman Bayu Damai dan Punggai, supaya menggunakan pelitup muka sekiranya terdedah kepada asap tebal susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan yang turut meningkat sedikit kepada 125.
"Saya berharap kejadian ini menjadi iktibar kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dan tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama ketika cuaca panas," katanya.
--BERNAMA