KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu tidak menemui sebarang unsur jenayah sebagai punca kejadian kebakaran melibatkan deretan rumah kedai di Kampung Cina di sini, malam Ahad lepas.

Pengarahnya Md Hilman Abd Rashid berkata pihaknya kini memfokuskan kepada elemen lain, yang disyaki menjadi punca kepada kejadian yang melibatkan 12 rumah kedai itu.

"Semalam (bomba) datang dan buat siasatan, peringkat awal kita gunakan unit K9 dari Kuala Lumpur untuk membuat siasatan untuk tentukan punca kebakaran, namun unit K9 dapati tiada unsur jenayah.

"Jadi kita akan fokus kepada punca lain, mungkin disebabkan oleh pendawaian elektrik... kita juga tidak menolak punca lain, kena pergi (siasat) satu persatu yang kita syak," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar ke lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, proses penggalian juga perlu dilakukan di lokasi kejadian untuk mencari punca sebenar, namun jengkaut tidak boleh digunakan memandangkan terdapat laluan air di bawah tapak kebakaran.

"Jadi kita akan buat (penggalian) secara manual menggunakan tangan untuk alih satu persatu (serpihan), sebab itu makan masa sikit dan dah dapat bukti nanti kita akan bawa ke makmal dan kita akan dapat keputusan mungkin dalam seminggu lagi.

"Selagi siasatan di tempat kejadian tidak selesai, kita akan tutup kawasan ini dan tak benarkan orang masuk," katanya yang turut mencadangkan kepada pemilik bangunan-bangunan lama agar membuat pendawaian elektrik baharu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Md Hillman berkata terdapat lebih 50 bangunan lama di kawasan Kampung Cina yang dibina sejak 1940.

Sementara itu Ahmad Samsuri berkata mengenai pembangunan semula premis yang musnah akibat kebakaran itu, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pemilik terlibat agar ia dapat dibuat mengikut kesesuaian kawasan berkenaan.

"Kita akan pastikan tidak jadi pelik sebab suasana di sini (bercirikan) bangunan lama, jadi kena yakinkan pemilik supaya kerajaan boleh bantu dengan cara tertentu untuk kekalkan suasana di sini," katanya yang turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada setiap ketua isi rumah terlibat.

Katanya sesi dialog dengan agensi seperti bomba juga akan diadakan, untuk memberi penerangan berkenaan aspek keselamatan kepada penduduk di Kampung Cina dan kawasan-kawasan lain yang mempunyai penduduk yang padat, bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

-- BERNAMA