NATIONAL
Kebakaran paip gas Putra Heights: "Saya tidak suka spekulasi, salahkan sesiapa" - Tun Mahathir

Tun Mahathir meninjau lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya hari ini. - Foto Astro AWANI
SUBANG JAYA: Tiada siapa yang harus dipersalahkan ketika ini sehingga proses siasatan berhubung insiden kebakaran saluran paip gas Petronas selesai dilakukan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, bukan cara beliau untuk menuduh sesuatu tanpa sebarang bukti kukuh.
“Jika kita menemui bukti, barulah kita boleh kata siapa yang bertanggungjawab, tetapi saya tidak suka membuat spekulasi dan menyalahkan sesiapa.
“Itu tidak betul kerana kita sebenarnya tidak tahu bagaimana perkara ini berlaku. Kebakaran, letupan yang berlaku kali ini benar-benar luar biasa,” katanya.Tun Mahathir menjawab ringkas soalan pihak mana yang perlu mengambil tanggungjawab atas kejadian kebakaran yang telah memusnahkan puluhan kediaman dan kenderaan.
Beliau juga percaya Petronas telah mengambil setiap langkah untuk memastikan saluran paip gas bawah tanah itu adalah selamat.
“Mereka (Petronas) memeriksanya, tetapi mereka benar-benar tidak tahu apa yang menyebabkan kejadian itu. Saya tidak menyalahkan sesiapa,” katanya.
Tun Mahathir meninjau lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya kira-kira jam 5.50 petang tadi.
Tun Mahathir kemudian dibawa oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ke Pos Kawalan Tempat Kejadian bagi sesi taklimat dan kemudian dilihat beredar meninggalkan lokasi sekitar jam 6.20 petang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami