Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kebanyakan warga asing di Perlis bekerja dalam sektor pembinaan, ladang

a'sim md ali_BERNAMA
Mohammad A'sim berkata pihaknya akan terus bertindak sekiranya ada maklumat serta menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan keadaan di Perlis terkawal daripada kemasukan pendatang tanpa izin. --fotoBERNAMA
Advertisement

KANGAR: Kebanyakan warga asing di Perlis dikesan bekerja dalam sektor pembinaan dan ladang termasuk ladang ayam, kata Pengarah Imigresen Perlis Mohammad A'sim Md Ali.

Beliau berkata pihaknya mengesan situasi itu menerusi Op Sasar yang dilaksanakan di 13 lokasi di negeri itu pada 10 Ogos dan semalam.

Mohammad A'sim berkata pelaksanaan operasi itu melibatkan penyertaan 28 pegawai Imigresen dengan melakukan pemeriksaan terhadap 116 individu yang terdiri daripada 108 warga asing serta lapan rakyat Malaysia.

“Daripada 108 warga asing yang diperiksa, 50 merupakan warga Bangladesh, 23 Indonesia, 22 Myanmar, tujuh Thailand serta enam India dan daripada keseluruhan jumlah ini, sebanyak 28 warga asing ditahan kerana dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya pada sidang media sempena operasi itu yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.

Mohammad A'sim berkata warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 22 lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak perempuan berumur antara tiga hingga 45 tahun, yang daripada jumlah itu, 16 merupakan warga Bangladesh manakala 12 lagi warga Myanmar.

“Antara kesalahan dikenal pasti melibatkan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kesalahan melindungi warga asing di bawah Seksyen 56(1)(d) akta yang sama, serta kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata kesemua tahanan itu dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Kangar bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut, manakala satu Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada seorang rakyat Malaysia bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mohammad A'sim berkata pihaknya akan terus bertindak sekiranya ada maklumat dan aduan serta menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan keadaan di Perlis terkawal daripada kemasukan pendatang tanpa izin.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement