Malaysia berpendirian hanya kebersatuan yang konsisten antara 10 negara ASEAN dapat memastikan sebarang isu di rantau berkenaan terutama membabitkan Laut China Selatan tidak dikaburi pertimbangan atau campur tangan geopolitik kuasa-kuasa besar dunia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata negara-negara ASEAN mesti terus memperkukuh hubungan antara satu sama lain bagi membendung daripada berlakunya sebarang pertikaian yang boleh menjejaskan keharmonian, keamanan dan keselamatan di Laut China Selatan.

Mengambil contoh inisiatif perjanjian tiga hala antara Malaysia-Indonesia-Filipina berkaitan keselamatan dan pertikaian Laut Sulu, Hishammuddin berkata ia menunjukkan negara ASEAN mampu menyelesaikan sebarang isu tanpa campur tangan luar.

"Kita tidak mampu berhadapan kuasa besar dunia (secara sendiri) melainkan gabungan dan gandingan sesama negara ASEAN," katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan sukarelawan Institut Onn Jaafar (IOJ), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rampasan dron bawah laut milik tentera Amerika Syarikat di kawasan perairan antarabangsa Laut China Selatan oleh tentera China baru-baru ini, yang boleh menimbulkan ketegangan di kawasan berkenaan.

"Saya telah meminta Panglima TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin untuk menjadi 'point person' (dalam isu itu) kerana beliau ada talian secara langsung dengan China dan Amerika Syarikat," kata Hishammuddin.

Menurut Hishammuddin, Malaysia juga akan menulis surat kepada rakan sejawatannya di China, Jeneral Chang Wanquan bagi mendapatkan penjelasan dakwaan peletakan aset ketenteraan republik itu di tujuh pulau buatan di Laut China Selatan yang didedahkan pertubuhan bukan kerajaan Amerika Syarikat, Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI), baru-baru ini.

"Saya bersetuju dengan pendirian kerajaan Filipina baru-baru ini berhubung dengan peletakan aset ketenteraan yang perlu disahkan negara terbabit melalui saluran rasmi.

"Tugas kita di Mindef (Kementerian Pertahanan) menerusi TLDM adalah memantau kehadiran aset ketenteraan (negara asing) di kawasan kita yang jika tidak dibendung, sebarang insiden boleh merebak sehingga tidak terkawal, dan mampu menimbulkan ketegangan antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata sebarang penyebaran maklumat berkaitan insiden melibatkan negara-negara ASEAN terutama menerusi media sosial mesti diberi perhatian khusus bagi mengelak timbulnya masalah dan polemik antara negara-negara ASEAN.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata program sukarelawan IOJ menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila penyertaan belia untuk membantu golongan memerlukan mencecah 17,000 orang sejak ditubuh dua tahun lepas.

Katanya pencapaian membanggakan dengan gabungan sukarelawan terdiri daripada pelbagai bangsa itu menunjukkan program IOJ merupakan platform terbaik yang mesti diteruskan dalam memacu golongan belia yang mencari ruang dan peluang untuk menyalurkan keringat kepada kumpulan memerlukan.

"Menggunakan nama datuk saya, Datuk Onn Jaafar sebagai tunjang penubuhan institut ini, amat diharapkan nilai-nilai murni yang dipamer dalam membantu golongan memerlukan dapat diteruskan pasa masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA