MALAYSIA
Kebolehpasaran graduan Malaysia capai 95.1 peratus hasil reformasi TVET - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua, kanan) melawat reruai pameran selepas Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Reformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah meningkatkan kebolehpasaran graduan kepada 95.1 peratus dengan lebih 430,000 pelajar kini mendaftar di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Reformasi TVET telah meningkatkan kebolehpasaran graduan kepada 95.1% dengan lebih 430,000 pelajar mendaftar, menunjukkan perubahan besar dalam trend pendidikan negara.
- Inisiatif ini melibatkan penyepaduan 12 kementerian, pembangunan Dasar TVET Negara 2030, Sistem Data Raya TVET, Portal TVET MADANI dan aplikasi UP_TVET untuk menghubungkan pelajar dengan peluang kerjaya.
- Malaysia turut memperkenalkan tahap pensijilan baharu setara pendidikan tinggi dan memperluas kelayakan gaji minimum kepada graduan separa mahir dan TVET di bawah Kod MASCO 8 dan ke atas.
Beliau berkata reformasi berkenaan adalah berteraskan penyepaduan 12 kementerian di bawah satu visi, penyelarasan latihan kemahiran dengan keperluan pasaran serta memastikan keterangkuman agar tiada komuniti tercicir, sekali gus membawa kepada pembangunan Dasar TVET Negara 2030, Sistem Data Raya TVET, Portal TVET MADANI dan sistem aplikasi UP_TVET yang menghubungkan pelajar dengan peluang merentasi kementerian.
Beliau berkata Malaysia turut memperkenalkan tahap pensijilan baharu yang setara dengan kelayakan pendidikan tinggi, selain memperluas kelayakan gaji minimum kepada graduan separa mahir dan graduan TVET dalam kategori Kod MASCO 8 dan ke atas.
"Ia bukan sekadar angka. Ia adalah kisah transformasi, daripada anak nelayan yang kini menjadi juruteknik dron, anak perempuan Orang Asli mengetuai pemasangan panel solar di kampungnya dan bekas pekerja kilang yang kini memiliki bengkel kimpalan serta menggaji 12 pekerja," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Perdana Menteri meletakkan TVET sebagai teras dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memacu pertumbuhan sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu serta ekonomi digital.
Beliau berkata Malaysia menyepadukan TVET dalam zon industri strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Taman Hi-Tech Kulim, Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian serta koridor pertumbuhan Sabah-Sarawak bagi memastikan penawaran kemahiran selaras dengan permintaan pelaburan.
Menurut Ahmad Zahid, Malaysia menyasarkan kedudukan dalam kalangan 20 negara teratas Indeks Inovasi Global serta mewujudkan 1.2 juta pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan serta ekonomi digital dalam tempoh lima tahun.
Pada masa sama, beliau berkata Malaysia juga sedang mengukuhkan agenda TVET di peringkat global melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi termasuk 5,125 penempatan industri di China, kerjasama dengan Universiti AI Mohamed bin Zayed di Abu Dhabi, serta pertukaran kemahiran dengan Jepun, Jerman dan Australia.
"Inilah sebabnya Malaysia mencadangkan penubuhan Pusat Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN sebagai badan utama untuk menetapkan penanda aras, memastikan pengiktirafan bersama serta mempromosikan mobiliti tenaga kerja mahir merentasi sempadan.
"Apa yang kita putuskan di sini akan menentukan sama ada impian itu direalisasikan atau dibiarkan terkubur. Marilah kita komited bukan sekadar dengan janji tetapi dengan dasar berpanjangan, kerjasama yang memberi hasil dan tindakan membawa transformasi," katanya.
ATVET 2025 berlangsung selama dua hari yang bertemakan Advancing Digital and Green Transformations through an Inclusive and Future-Ready TVET System menghimpunkan lebih 1,500 perwakilan bagi membincangkan usaha menjadikan TVET pemacu transformasi digital dan hijau yang inklusif di ASEAN.
Anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Malaysia (PTPK) merupakan platform utama keempat di bawah Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang menampilkan 23 penceramah serta penyertaan dalam kalangan pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia pendidikan, pertubuhan pekerja serta rakan antarabangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami