Jiwa saya 'kacau' setiap kali lagu Negaraku berkumandang - Dharma Raj

Dharma Raj mengakui jiwanya tetap bergolak setiap kali lagu Negaraku berkumandang apatah lagi apabila perlu mengemudi Indonesia berdepan pasukan negara kelahirannya. - Gambar Facebook Dharma Raj
KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah sekali lagi menjadi 'tembok penghalang' Malaysia untuk memenangi pingat emas acara hoki dalam dewan lelaki pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Bekas ketua jurulatih hoki wanita kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah, mengecewakan Malaysia di Sukan SEA 2025 dengan membimbing Indonesia menewaskan Malaysia 2-0 dalam final hoki lelaki, mempertahankan emas untuk kali kedua.
- Walaupun berjaya dengan Indonesia, Dharma Raj mengakui perasaan patriotik terhadap Malaysia yang tidak pernah hilang, terutama ketika lagu Negaraku dimainkan, menyatakan jiwanya terganggu dan ingin menyanyikan lagu tersebut.
- Persiapan rapi pasukan Indonesia, termasuk latihan selama empat bulan di Jerman dan Sepanyol, menjadi faktor kemenangan dalam final menentang Malaysia, dengan Dharma Raj menunggu perlawanan itu selama 15 bulan sebelumnya.
Namun, meskipun memainkan peranan utama dalam kejayaan Indonesia, jurulatih kelahiran Malaysia berusia 55 tahun itu mengakui perasaan cintakan tanah air tidak pernah pudar dan sentiasa hadir setiap kali lagu Negaraku dimainkan dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.
Beliau mengakui jiwanya tetap bergolak setiap kali lagu kebangsaan itu berkumandang apatah lagi apabila perlu mengemudi Indonesia berdepan pasukan negara kelahirannya.
"Setiap kali duduk dan dengar lagu Negaraku dimainkan dan saya berdiri pada bahagian sebelah (negara Indonesia) jiwa saya kacau, bibir saya mahu menyanyikan lagu Negaraku tapi saya tahan kerana saya bimbang dirakam kamera.
"Saya sayangkan negara saya, saya patriotik, saya jadi atlet dan jurulatih untuk Malaysia tapi saya tiada pilihan, saya sudah berada di Indonesia selama enam tahun dan saya juga membina kerjaya di sana tapi kalau tiap kali dengar lagu Negaraku tetap terasa," katanya ketika ditemui di Bangkok baru-baru ini.
Pada final hoki dalam dewan lelaki Sukan SEA 2025, Malaysia dikecewakan menerusi penentuan penalti 0-2 selepas terikat 4-4 dalam masa permainan sebenar.
Mengulas mengenai rahsia kejayaan pada edisi kali ini, Dharma Raj berkata pasukan itu membuat persediaan rapi termasuk menjalani sesi latihan selama kira-kira empat bulan di Jerman dan Sepanyol sebagai persiapan menghadapi saingan Malaysia di pentas final.
"Persiapan kami memang rapi dan mantap, saya menunggu perlawanan ini (final lawan Malaysia) sudah 15 bulan, sejak hari pertama memulakan latihan saya juga sudah tahu pasukan saya akan bertemu Malaysia di final Sukan SEA.
"Emas ini sangat penting untuk kami, kami sangat serius memburunya kerana dengan memenangi emas kami akan terus diberikan perhatian dan mendapat sokongan," katanya yang pernah disenarai pendek sebagai calon ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara pada Februari tahun lepas.
Dharma Raj dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia dengan kontrak hingga Disember 2025 pada Mac 2021 selepas 10 bulan memegang jawatan pengarah teknikal hoki Wilayah Jawa Barat.
Prestasi hoki Indonesia menunjukkan peningkatan mendadak sejak kehadiran Dharma Raj dengan emas Sukan SEA kedua berturut-turut itu akan terus mengukuhkan namanya di rantau itu.
Sebelum itu, pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita Indonesia menamatkan saingan Piala Asia 2022 masing-masing di kedudukan keempat dan naib juara manakala skuad hoki padang lelaki dan wanita Indonesia pula berjaya beraksi pada Sukan Asia 2022.
Antara kejayaan diraih Dharma Raj bersama Malaysian Tigress ialah merangkul emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur selain mencipta sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia dan menduduki tempat kelima pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.
Beliau juga pernah membawa pasukan hoki remaja lelaki kebangsaan meraih tempat keempat pada Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


