Bersatu berdepan cabaran sokongan PN dan legitimasi MB Perlis - Penganalisis

Bersatu berisiko berdepan cabaran besar sekiranya polemik dalam Perikatan Nasional (PN) gagal diselesaikan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berisiko berdepan cabaran besar sekiranya polemik dalam Perikatan Nasional (PN) gagal diselesaikan, walaupun berjaya memimpin Perlis.
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani UIAM, Prof Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata, pelbagai persoalan timbul sekiranya Bersatu dikeluarkan daripada PN, terutama cabaran kekuatan akar umbi jika parti itu bergerak secara solo.
“Walaupun setakat ini Bersatu berjaya mendapat satu negeri (Perlis) untuk jangka masa panjang, saya melihat the biggest loser adalah Bersatu sekiranya mereka tidak dapat memulihkan keretakan hubungan ini,” katanya semasa wawancara segmen Pantau Agenda Reformasi: Konflik Pas–Bersatu: Uji Kesetiaan dan Kerjasama Politik pada Isnin.
Tambahnya keretakan PN turut memberi kesan kecil kepada Pas untuk meluaskan pengaruh di negeri-negeri lain seperti Selangor dan Johor sekiranya Pas bergerak solo.
“Pas bekerjasama dengan Bersatu dalam PN kerana mahu luaskan sokongan mereka di luar negeri-negeri yang ditadbir oleh Pas…. tanpa Bersatu ini mungkin akan memberi impak kepada kejayaan Pas jika mereka bertanding solo,” katanya.
Mengenai ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar menggantikan ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli semalam, Syaza berkata legitimasinya masih menjadi persoalan.
Malah Syaza berpendapat tanpa sokongan yang jelas pentadbiran negeri dijangka berdepan tekanan berterusan, bukan sahaja daripada pembangkang tetapi juga daripada Pas selaku rakan dalam PN.
“Bersatu mempunyai lima ADUN, Perlis ada 15 kerusi dengan majoriti mudah lapan, adakah Menteri Besar baharu ini mampu memperoleh sokongan tiga lagi ADUN?… Adakah Pas akan membenarkan ADUN mereka menyokong Menteri Besar baru ini?” soal Syaza.
Syaza juga berpandangan keadaan itu berpotensi menjejaskan kestabilan pentadbiran, sekali gus mengganggu tumpuan kerajaan negeri terhadap agenda pembangunan rakyat.
“Saya risau ia akan menarik perhatian kerajaan negeri daripada fokus terhadap pembangunan negeri Perlis kepada hal undang-undang,” katanya lagi.
Beliau turut berharap menjelang PRU-16 dalam dua tahun akan datang, politik kepartian diketepikan dan fokus diberikan kepada rakyat Perlis serta kestabilan kerajaan bagi pembangunan dan kesejahteraan mereka.
Sejak Abu Bakar menjadi Menteri Besar, wujud serangan terbuka dalam kalangan pemimpin Pas mengenai kerjasama dengan Bersatu.
Terdahulu media melaporkan Mohd Shukri telah meletakkan jawatan selaku Menteri Besar pada 25 Disember atas faktor kesihatan.
Pada 24 Disember, keahlian tiga ADUN Pas iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) telah terhenti, dipercayai kerana menyokong Akuan Berkanun (SD) Bersatu bagi menolak Mohd Shukri sebagai Menteri Besar.
Namun, pada 27 Disember, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada arahan diberikan kepada ADUN Perlis dari parti itu untuk menandatangani SD. Bersatu hanya memaklumkan nama calon Menteri Besar Perlis setelah dititahkan oleh Istana.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


