Skip to main content

Malaysia

Kebolehpasaran graduan UniSIRAJ cecah 94.1 peratus, tertinggi dalam sejarah universiti

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen berterusan UniSIRAJ dalam memperkukuh jaringan antarabangsa, memperluas peluang akademik dan pembangunan mahasiswa. - Gambar Istana Arau
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen berterusan UniSIRAJ dalam memperkukuh jaringan antarabangsa, memperluas peluang akademik dan pembangunan mahasiswa. - Gambar Istana Arau

Advertisement

SAMARKAN, UZBEKISTAN: Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) merekodkan peningkatan ketara kadar kebolehpasaran graduan (GE) apabila mencapai 94.1 peratus pada 2024 berbanding 50.0 peratus pada 2017, sekali gus mencatat lonjakan sebanyak 44.1 peratus dalam tempoh tujuh tahun.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pencapaian itu merupakan kadar kebolehpasaran graduan tertinggi pernah direkodkan UniSIRAJ sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut baginda, prestasi tersebut turut menunjukkan trend peningkatan yang konsisten apabila kadar kebolehpasaran graduan universiti itu berjaya dikekalkan melebihi 90 peratus selama tiga tahun berturut-turut, iaitu 92.0 peratus pada 2022, 92.5 peratus pada 2023 dan meningkat kepada 94.1 peratus pada 2024.

“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan kebolehpasaran graduan UniSIRAJ yang dimiliki Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bukan bersifat sementara, sebaliknya mencerminkan trend yang semakin kukuh dan berterusan.

“Lebih penting, UniSIRAJ bukan sahaja melahirkan graduan yang memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai nilai pasaran, kebolehsuaian serta keupayaan memenuhi keperluan semasa majikan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSIRAJ dan Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage, di sini, pada Selasa.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafeedah Abdul Aziz.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UniSIRAJ, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle manakala Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage diwakili Naib Rektor Pertama Hal Ehwal Pentadbiran, Prof Dilmurod Nasimov.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen berterusan UniSIRAJ dalam memperkukuh jaringan antarabangsa, memperluas peluang akademik dan pembangunan mahasiswa serta meningkatkan kesiapsiagaan graduan untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.

Baginda berkata, menerusi pengukuhan kualiti akademik, jaringan industri dan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, UniSIRAJ terus berusaha melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing dari segi ilmu dan kemahiran, malah mampu menyesuaikan diri dengan perubahan serta tuntutan dunia pekerjaan.

Usaha itu sekali gus memperkukuh kedudukan UniSIRAJ sebagai institusi pengajian tinggi yang responsif terhadap keperluan semasa, selain memastikan graduannya kekal relevan, kompetitif dan mampu bersaing di peringkat nasional serta antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement