Kedah tidak berhasrat menutup pusat tahfiz yang tidak berdaftar di negeri ini sebaliknya meminta pihak pengurusan pusat berkenaan untuk terus menyegerakan urusan pendaftaran bagi membolehkan ia dipantau dan diuruskan sebaik mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri Datuk Dr Ismail Salleh berkata sehingga kini lebih 160 pusat tahfiz di Kedah telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) namun masih ada yang gagal berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu.

"Hasrat kita tak mahu tutup sebaliknya nak semua mendaftar sebab bila buka tahfiz dia mengendalikan anak orang dan masa depan mereka, selain itu dia uruskan duit orang jadi kalau tak daftar tak ada badan yang mengawal dan dia boleh buat apa sahaja," katanya kepada pemberita pada program Jelajah Pendidikan Luar Bandar dan Tuisyen MARA 2018 peringkat Pendang dan Yan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Kedah berhasrat menutup pusat tahfiz di negeri itu susulan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong berusia 30 tahun disyaki meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun dan pusat tahfiz itu didapati tidak berdaftar.

BACA: Tutup pusat tahfiz jika pengetua didapati bersalah - Mujahid

BACA: Kaji semula garis panduan selia, kendali pusat tahfiz - Maszlee

Suspek ditahan sehari selepas polis menerima laporan kes berkenaan yang dibuat oleh seorang guru lelaki pusat tahfiz berkenaan pada 13 September lepas.

Dr Ismail berkata pusat tahfiz yang berdaftar memiliki ciri-ciri keselamatan yang diperlukan seperti alat pemadam api dan laluan kedua jika berlaku kebakaran.

"Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk meluluskan pendaftaran sekiranya memenuhi syarat- syarat yang ditetapkan kerana pusat tahfiz berkaitan agama yang patut dimartabatkan dan kita beri masa untuk mereka berbuat demikian," katanya.

Mengenai program itu, beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor berkata program sehari itu mendedahkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dengan maklumat tepat untuk memilih kursus dan program yang bersesuaian sebelum melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi.

"Ini adalah lokasi terakhir selepas kita bermula di Sik, Kuala Muda, Pokok Sena, Padang Terap, Langkawi, Kulim-Bandar Baharu dan Kubang Pasu sambutannya amat menggalakkan," katanya.

-- BERNAMA