KUCHING: Kebenaran bagi kedai buku dan alat tulis untuk beroperasi merupakan antara penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di Sarawak susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata tempoh operasi kedai berkenaan adalah mengikut syarat yang ditetapkan untuk sektor perkhidmatan, ekonomi, industri dan aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan semasa PKP.

Selain itu, waktu operasi premis yang menjual makanan adalah antara 6.00 pagi dan 10 malam manakala individu atau kumpulan individu tidak dibenarkan berada di kawasan awam antara pukul 12.01 pagi dan 5.00 pagi tanpa alasan yang munasabah.

BACA: Operasi premis makanan di Sarawak kini dilanjutkan ke 10 malam

Sarawak mencatatkan 409 kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 64,233, dengan dua kematian baharu direkodkan, menjadikan angka kematian bertambah kepada 406 orang.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan lima kluster baharu membabitkan kluster komuniti dan tempat kerja, menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negeri ini berjumlah 97 kluster.

Kluster Luteng di daerah Telang Usan dikesan di sebuah kampung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Long Luteng melibatkan 44 kes positif COVID-19.

Kluster Po Ai (Sri Aman) pula membabitkan empat rumah panjang yang turut berada di bawah PKPD dengan sejumlah 103 kes dikesan positif, manakala Kluster Blimbing (Bau) melibatkan 22 kes positif di Kampung Blimbing.

Di daerah Sarikei, 59 kes positif melibatkan empat buah rumah panjang menyebabkan Kluster Simpang Koko diisytiharkan manakala Kluster Jalan Semariang di Kuching membabitkan 36 kes positif di sebuah pasar raya.

-- BERNAMA