KUALA LUMPUR:Kedudukan kewangan kerajaan ketika ini kekal kukuh meskipun berdepan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurut beliau, Fitch Ratings dalam laporannya baru-baru ini turut bersetuju bahawa sasaran defisit Malaysia iaitu 6 peratus pada 2020 dan 5.4 peratus tahun ini adalah realistik dan boleh dicapai.

"Ini adalah lebih baik daripada anggaran defisit 10.3 peratus oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang akan dialami oleh ekonomi pasaran sedang pesat membangun," katanya dalam program yang bertemakan "Menang Bersama: Rebuilding Malaysia’s Economy Together".

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menguncup antara 3.5 ke 5.5 peratus bagi tahun 2020.

“Kita dapat menjangkakan penguncupan antara 3.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2020, sedangkan IMF baru-baru ini menyemak semula penguncupan kita sebanyak 20 mata.

“Ia daripada 6 peratus pada Oktober 2020 kepada 5.8 peratus pada akhir Disember. Ia lebih baik daripada United Kingdom (-10.0 peratus), Filipina (-8.3 peratus), India (-8.0 peratus), EU (-7.2 peratus), Thailand (-7.1 peratus) dan Singapura (-6.0 peratus),” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga berjaya memberikan fokus kepada sektor kesihatan, walaupun pertumbuhan ekonomi dikhuatiri perlahan.

“Nisbah kematian kes Malaysia pada 0.4 peratus atau berada di tahap terendah 5 peratus di seluruh dunia.

“Institusi kesihatan awam dan sistem penjagaan kesihatan kita telah bekerjasama dengan berkesan dan konstruktif, ia turut diakui oleh laporan Moody's baru-baru ini,” tambah Zafrul lagi.

Tengku Zafrul berkata, perbelanjaan tambahan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi pada 2020 adalah bukti kerajaan mengutamakan hal berkaitan rakyat.

“Setakat ini, pakej rangsangan itu telah memanfaatkan 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan, dengan lebih daripada 50 peratus inisiatif disalurkan sehingga kini.

"Daripada jumlah berkenaan, sebahagian besarnya diperuntukkan antaranya untuk langkah-langkah bantuan segera seperti bantuan tunai Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin, subsidi upah dan langkah-langkah lain untuk melindungi kehidupan rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan," kata Tengku Zafrul.