MUAR: Pemandu lelaki berusia 19 tahun yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan lima nyawa di Jalan Renggam–Simpang Renggam pada minggu lepas disambung reman selama dua hari lagi sehingga Rabu ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membolehkan siasatan terus dilakukan.
Perintah reman terhadap suspek yang juga pelajar di sebuah universiti di Singapura dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Muar, setelah tempoh reman sebelum ini selama empat hari sehingga hari ini tamat.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata permohonan reman tersebut dilakukan bertujuan untuk melengkapkan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan sebelum ini iaitu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih diteruskan berdasarkan video yang tular yang membabitkan suspek memandu laju dan melulu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Terdahulu, pada Selasa lepas reman pertama dilakukan di Mahkamah Majistret Batu Pahat mengikut Seksyen 42(1) selama dua hari dan disambung sehari di Mahkamah Majistret Kluang.
Namun sebaik reman berakhir, polis menahan semula suspek pada Khamis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kluang setelah kertas siasatan dirujuk dengan Jabatan Peguam Negara.
Kemalangan maut tersebut meragut nyawa empat sekeluarga iaitu Semek Mat Soh, 73, Nor Azlina Latil, 33, Aiman Mohd Rashid, 36 dan Nur Airish Syifa Sidek serta abang suspek, 22, yang memandu BMW 530e.
--BERNAMA