KUALA KANGSAR: Mahu menampilkan kelainan serta menarik perhatian pelanggan telah mencetuskan idea seorang peniaga Salasiah Osman, 64, menghasilkan pulut udang gergasi sejak 10 tahun lepas.
Dikenali sebagai "Pulut Udang King", Salasiah atau mesra disapa Cik La berkata meskipun ramai dalam kalangan pelanggannya melahirkan rasa terkejut melihat saiz "luar biasa" pulut udang yang dihasilkan, rata-rata daripada mereka tertarik untuk membeli juadah berkenaan.
"Ramai yang hairan tengok saiz pulut panggang yang saya jual, kerana lazimnya mereka lihat saiz (pulut udang) hanya (panjang) sejengkal jari, namun yang saya jual ini hampir sekaki panjang dan lebarnya kira-kira 12 inci.
"Atas faktor itu mungkin membuatkan timbul keinginan mereka untuk membeli. Kami juga rasa seronok sebab kelainan yang kami tampilkan ini diterima ramai pelanggan," katanya ketika ditemui Bernama di gerainya yang terletak di Kampung Padang Rengas di sini.
Ditanya tentang penghasilan pulut udang gergasi berkenaan, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata dia memerlukan sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam sehari untuk menyiapkan proses daripada menanak pulut sehingga memasak inti kuih tradisional itu yang bahan utamanya terdiri daripada kelapa parut dan udang kering.
"Kita perlukan masa sekurang-kurang dua hingga tiga jam untuk proses menanak pulut dan empat jam untuk masak intinya. Prosesnya memang lama sebab kita nak dapatkan pulut yang lembut. Inti pula kena masak dengan api yang perlahan bagi pastikan adunannya sebati dan tidak berbau hangit.
"Kita juga perlukan sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 kilogram (kg) pulut dan kira-kira 5 kg kelapa parut sehari untuk penghasilan pulut udang ini," katanya yang menjalankan perniagaan pada setiap hari bermula pukul 10.30 pagi hingga 7 malam.
Salasiah berkata hanya daun pisang abu yang digunakan sebagai pembalut kuih tradisional Melayu itu kerana ia lebih keras dan mengeluarkan aroma harum apabila dipanggang.
"Kalau daun pisang lain memang tak boleh sebab lembut dan apabila dipanggang akan cepat terbakar sehingga menyebabkan pulut menjadi rentung," kata anak jati Padang Rengas itu.
Salasiah berkata pulut udang gergasi itu dijual dengan harga RM3 sebatang dan mampu dijual kira-kira 150 hingga 300 batang sehari bergantung kepada permintaan dan hari cuti.
"Kalau hari biasa (Isnin hingga Khamis) kita boleh jual dalam lingkungan 150 ke 170 batang sehari tetapi jumlah itu akan berganda pada Jumaat hingga Ahad serta cuti umum.
"Pulut udang ini juga bukan hanya diminati orang kita (Melayu), malah saya ada seorang pelanggan tetap daripada bangsa Cina yang akan menempah kuih ini apabila tiba Tahun Baru Cina," katanya.
Mengulas tentang perancangan masa depan, Salasiah berkata dia bercadang menghasilkan pulut udang sejuk beku untuk memperluas jaringan perniagaan selain meningkatkan pendapatan seharian.
Sementara itu, seorang pelanggan Roshamilla Khalid, 39, berkata dia hanya mengetahui tentang pulut udang gergasi itu sejak penghujung November tahun lepas melalui platform media sosial.
"Saya tengok (pulut panggang ini) menerusi TikTok dan kebetulan gerai ini antara laluan saya untuk berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Kangsar, jadi memang saya berkesempatan untuk singgah membeli. Ini kali kedua beli dan bagi saya ia antara pulut udang yang sedap dan kena dengan cita rasa saya," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Jan 01 2024
Cik La berkata ramai dalam kalangan pelanggannya melahirkan rasa terkejut melihat saiz "luar biasa" pulut udang yang dihasilkan. - Gambar/ Bernama
Banjir ragut 76 nyawa di seluruh Kenya
Daerah Nairobi terjejas teruk akibat banjir dengan hampir 17,000 isi rumah dipindahkan.
Nahas skuter elektrik meningkat di Jepun selepas peraturan dilonggar
Dalam tempoh enam bulan sejak Julai lepas, 85 nahas lalu lintas melibatkan skuter elektrik dicatatkan dan mengakibatkan 86 kecederaan.
Mohamed Khaled tiba di Indonesia untuk lawatan rasmi, dijadual bertemu Prabowo
Menteri Pertahanan tiba di Jakarta pada Ahad untuk lawatan kerja rasmi sulung beliau ke Indonesia sejak memegang jawatan itu.
'Tersentuh tengok golongan OKU penglihatan tunai umrah’ - Mohd Na’im
"Moga terkabul segala hajat sahabat-sahabat OKU penglihatan menunaikan ibadat umrah dan ziarah."
PM Anwar yakin terhadap IsDB dalam tangani ketidaksamaan, marginalisasi umat Islam
Bank itu mempunyai peranan untuk menangani isu ketidakadilan, ketidaksamaan dan marginalisasi terutamanya dalam kalangan umat Islam.
Harumanis antara tarikan utama Agrofiesta 2024
Mangga harumanis dan produk makanan berasaskan mangga antara tarikan utama pada penganjuran Agrofiesta 2024.
NIOSH sedia beri khidmat nasihat depani cabaran perubahan iklim
NIOSH bersedia memberikan khidmat nasihat serta rundingan bagi membantu kerajaan, majikan dan pekerja menghadapi cabaran berkaitan perubahan iklim.
Malaysia negara pertama terima visa haji
Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024.
Menteri Indonesia bincang isu pekerja migran dengan rakan sejawat dari Malaysia
Fauziyah harap Steven akan membawa penambahbaikan kepada dasar berkaitan tenaga kerja Indonesia.
Pahang peruntuk RM1.5 juta bantuan tunai bakal jemaah haji
Sebanyak 1,588 jemaah haji Pahang menerima sumbangan 'duit poket' berjumlah RM750 seorang bagi membantu meringankan beban bakal haji dalam melakukan persiapan melaksanakan rukun Islam kelima itu.
Keenakan pulut udang 'gergasi' Cik La di Padang Rengas
Mahu menampilkan kelainan serta menarik perhatian pelanggan telah mencetuskan idea seorang peniaga Salasiah Osman, 64, menghasilkan pulut udang gergasi sejak 10 tahun lepas.