Skip to main content

Malaysia

Kefahaman sejarah mendalam penting untuk satukan kepelbagaian kaum - Raja Muda Perlis

ARAU, 12 Mei -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pada majlis perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra, hari ini.  -- fotoBERNAMA
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pada majlis perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di UniMAP Kampus Pauh Putra, hari ini. - Foto Bernama

ARAU: Kefahaman sejarah yang mendalam sangat penting untuk menyatukan kepelbagaian kaum dan mengelakkan sebarang kesilapan lampau bagi Malaysia yang majmuk, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah sejarah merupakan teras jati diri dan kompas masa depan sesebuah bangsa, maka oleh itu sejarah harus dihayati dengan penuh tanggungjawab demi membina negara bangsa yang harmoni dan progresif.

“Inti pati konvensyen ini, ‘Bersama Membina Negara Bangsa’, menuntut kita untuk melihat sejarah bukan sekadar sebagai warisan, tetapi sebagai instrumen pembinaan masa hadapan.

“Negara bangsa tidak terbina dalam sehari tetapi melalui usaha berterusan yang melibatkan pendidikan, kefahaman bersama dan kesediaan untuk menghormati perbezaan,” titah baginda semasa berkenan merasmikan Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Selain itu, Raja Muda Perlis bertitah ketamadunan merupakan asas pembinaan negara yang teguh, manakala kelangsungan sesebuah tamadun itu pula bergantung sepenuhnya kepada keutuhan negara bangsa yang berdaulat. 

“Jika tamadun itu rohnya, maka negara bangsa adalah jasadnya, kedua-duanya harus bersatu demi menjamin kegemilangan dan kelangsungan masa depan watan,” titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah menekankan bahawa generasi muda kini mempunyai peluang besar untuk menjadi lebih celik maklumat dan berfikiran kritis dalam era digital.

Sehubungan itu, baginda bertitah para pendidik dan sarjana disaran terus proaktif memperbaharui kaedah pengajaran agar lebih menarik, tepat dan relevan sekali gus mampu menyentuh jiwa serta memperkukuh kefahaman generasi baharu.

“Di sini saya juga mengulangi harapan agar hasrat mewujudkan Jabatan Arkib Negara dan Arkib Negeri (Perlis) dan juga Galeri atau Muzium Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Negeri Perlis, dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Bagi memperkukuh pemuliharaan khazanah sejarah, warisan dan identiti negeri Perlis supaya terus terpelihara serta menjadi rujukan berharga bagi generasi akan datang,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Sementara itu menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara, konvensyen yang berlangsung dua hari bermula hari ini itu, menjadi platform penting yang menghimpunkan pengkaji dan pengamal sejarah untuk berkongsi penemuan, pandangan serta wacana ilmiah yang dapat memperkayakan naratif sejarah negara.

“Sebanyak empat sesi pembentangan akan berlangsung dengan melibatkan 14 pembentang, dengan memberikan fokus kepada sejarah institusi beraja, kesinambungan dan perubahan, gerakan nasionalisme, pentadbiran dan perundangan, dan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat MADANI,” menurut kenyataan kementerian itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video