Skip to main content

Malaysia

Keganasan pelajar: Intervensi perlu, beban bukan pada guru semata-mata - Azalina

Azalina berkata intervensi perlu diutamakan dalam menangani keganasan pelajar, manakala tanggungjawab menjaga keselamatan tidak boleh dibebankan kepada guru semata-mata. - Foto Bernama
Azalina berkata intervensi perlu diutamakan dalam menangani keganasan pelajar, manakala tanggungjawab menjaga keselamatan tidak boleh dibebankan kepada guru semata-mata. - Foto Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab menangani isu keselamatan dan keganasan dalam kalangan pelajar tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada guru yang pada masa sama mempunyai tanggungjawab utama untuk mengajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebaliknya berkata, intervensi perlu diberi keutamaan dalam menangani kes melibatkan kanak-kanak dan remaja, berbanding hanya memberi tumpuan kepada hukuman lebih berat terhadap pesalah bawah umur.

“Bila ada Tribunal Antibuli, itu adalah intervention (intervensi). Dalam apa-apa kes pun, siapa tak puas hati, kalau sekolah tak pick up (mengambil tindakan terhadap) dia punya reporting (laporan), dia boleh pergi terus kepada tribunal.

“Kita tak boleh expect cikgu-cikgu di sekolah, selain daripada tanggungjawab nak mengajar, mereka juga perlu memikul tanggungjawab untuk memantau. Berkali-kali semasa kita buat roadshow, cikgu-cikgu sekolah sendiri kata mereka dah banyak kerja," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan supaya undang-undang diperketat susulan kes membabitkan pelajar, Irene Sofiya Mohd Khairul Faisal.

Azalina berkata, tribunal berkenaan menyediakan saluran kepada kanak-kanak yang berasa tidak selesa, diganggu atau dibuli untuk membuat laporan sekiranya aduan mereka tidak mendapat respons sewajarnya di peringkat sekolah.

Menurutnya, pendekatan intervensi penting khususnya bagi kes melibatkan individu bawah 18 tahun, manakala tribunal memberi tumpuan kepada pemulihan dan bukan semata-mata hukuman.

Dalam pada itu, Azalina turut menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa kes keganasan dan pembunuhan membabitkan pelajar serta mahasiswa wanita kebelakangan ini yang menurutnya perlu diteliti bagi melihat sama ada wujud pola keganasan berasaskan gender.

Berdasarkan pemerhatiannya, beberapa kes berkenaan turut membabitkan individu yang dikenali mangsa termasuk rakan atau individu dalam lingkungan mereka.

“Saya tengok secara rambang, banyaknya adalah wanita dan kemudian yang melakukan ini adalah orang yang mereka kenal, mungkin kawan atau faculty mates (rakan sekuliah).

“Macam seolah-olah adanya gender-based violence (keganasan berasaskan gender) dan saya tak tahu sama ada respons kerana penolakan, jealousy (cemburu) dan sebagainya.

“Tapi yang saya khuatir ialah di mana wanita menjadi mangsa kepada situasi keganasan,” katanya.

Menurut Azalina, perkara itu perlu diberikan perhatian sekiranya keganasan berlaku akibat entitlement (rasa berhak) apabila kehendak seseorang tidak dipenuhi.

“Bila minta tak dapat, bila nak tak diberi, keganasan. Ini satu sifat misoginistik yang sangat-sangat bahaya,” katanya .

Bagaimanapun, Azalina menegaskan pemerhatian itu belum boleh dianggap sebagai satu kesimpulan dan memerlukan penelitian lebih mendalam bagi menentukan sama ada benar-benar wujud pola sedemikian.

Pada masa sama, Azalina berkata usaha menangani keganasan perlu turut memberi perhatian kepada pembentukan sikap dalam kalangan lelaki muda, bukan hanya meningkatkan kesedaran wanita dan pelajar perempuan.

“A strong boy doesn't mean you have to be aggressive (lelaki yang kuat tidak bermaksud perlu bersikap agresif). 

"You must be respectful. When you love a person, you be kind (anda perlu menghormati orang lain. Apabila menyayangi seseorang, anda perlu berbuat baik),” katanya lagi.


 


 

Must Watch Video

Advertisement