ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan kerajaan terlalu sensitif untuk mendedahkan laporan berhubung kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat secara terhad kepada isterinya Norhayati Mohd Ariffin.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara berkenaan berada dalam perhatiannya dan akan dibawa ke peringkat atasan susulan Peguam Negara telah mengemukakan rayuan bagi penangguhan pendedahan laporan itu di mahkamah.

"Jadi apabila Peguam Negara (telah) kemukan rayuan, (dan) mahkamah kemudian putuskan untuk stay of execution (penangguhan) diberikan, saya sudah tentu akan teliti perkara itu.

"Sebelum (ini) Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan ketika kerajaan Pakatan Harapan semasa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) menjadi Perdana Menteri, jadi kita (akan) selesai satu persatu.

"Saya (juga) menolak sama sekali (dakwaan atau tuduhan) kerajaan sensitif atau tidak mahu (mendedahkan laporan)... tidak timbul perkara itu, proses (berkenaan) akan berlaku, dan saya (sendiri) akan tengok perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Pokok Sena pada Sabtu.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan pertubuhan hak asasi manusia Citizens Against Enforced Disappearance (Caged), Rama Ramanathan, menggesa kerajaan mematuhi perintah mahkamah bagi mengeluarkan laporan sulit kehilangan Amri sejak 2016.

Menurutnya, kerajaan perlu menarik balik rayuannya terhadap perintah itu, yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bulan lepas.

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung perintah mahkamah supaya mengeluarkan laporan sulit pasukan petugas khas mengenai kehilangan Amri secara terhad kepada isterinya.

Peguam Larissa Ann Louis yang mewakili Norhayati berkata Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu pada 1 Jun lepas.

Pada 9 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Norhayati dan memerintahkan laporan berkenaan dikeluarkan kepada wanita itu dalam tempoh 30 hari.

Dalam permohonan itu, Norhayati menuntut antaranya satu pengisytiharan bahawa laporan yang disediakan pasukan petugas khas itu tidak termasuk dalam takrifan "rahsia rasmi" di bawah Seksyen 2 Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Norhayati turut mengemukakan saman terhadap kerajaan Malaysia, polis dan 19 individu lain berhubung kehilangan suaminya.