KUALA TERENGGANU: Seorang doktor perubatan tidak menyangka keikhlasannya membantu penagih dadah sejak 2009 mendapat pengiktirafan hingga melayakkannya menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Yayasan Aids Malaysia (MAF) 2021.
Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/Pengurusan Pesakit Kelamin/Hepatitis C) di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Mahani Nordin menjadi rakyat Terengganu pertama yang menerima anugerah itu pada majlis Gala Reben Merah yang diadakan di Kuala Lumpur Jumaat lepas.
Beliau yang menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan berkata penglibatannya dalam kerja amal itu bermula kerana rasa simpati dengan nasib golongan itu yang 'dibuang' keluarga selepas selesai menjalani rawatan di hospital.
"Mereka tiada tempat berteduh. Tiada siapa peduli dengan nasib malang mereka yang terpaksa tidur di merata tempat termasuk hentian bas, bawah jambatan dan bangunan terbiar untuk meneruskan kehidupan.
"Sebagai individu yang merawat mereka ketika di hospital, saya memasang impian mahu menyediakan sebuah rumah perlindungan untuk mereka menumpang teduh. Ketika itu, kebanyakan pesakit HIV dan AIDS di Terengganu terpaksa dihantar ke pusat rawatan dan perlindungan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Anak jati Hulu Terengganu itu berkata rasa sedih dan kasihan dengan nasib mereka mendorongnya untuk mengasaskan Komuniti Cakna Terengganu sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar tidak mendiskriminasi golongan itu.
Beliau turun padang bertemu beberapa ketua jabatan dan agensi kerajaan untuk mendapatkan dana menubuhkan rumah perlindungan tersebut dan akhirnya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sehingga berjaya menubuhkan Baitul Cakna di Ajil, Hulu Terengganu pada 2010.
Baitul Cakna adalah bukti betapa seriusnya Dr Mahani dalam membantu golongan tersebut kerana ia didirikan di atas tanah seluas 0.4 hektar yang diwakafkan oleh beliau sendiri, malah tiada sebarang yuran dikenakan terhadap penghuni di situ kerana sumber kewangan ditampung oleh Maidam dan beberapa pihak yang prihatin.
"Buat permulaan, empat penagih dadah ditempatkan di Baitul Cakna dan untuk menampung kos pengurusan, saya bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk membimbing mereka dalam aktiviti penanaman keledek, sayur-sayuran, timun serta tanaman kontan yang lain.
"Selain itu, saya turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan yang sudi memantau dan menganjurkan pelbagai program bersama penghuni di rumah perlindungan tersebut," katanya.
Sejak penubuhan Baitul Cakna, semakin banyak pihak yang 'membuka mata' dengan kejayaan Dr Mahani dalam membantu golongan itu memulakan kehidupan baharu serta mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap mereka.
Pada 2017, Dr Mahani berjaya meyakinkan Kerajaan Negeri Terengganu untuk komitmen memberi tanah seluas empat hektar di Kampung Pelandan, juga di daerah Hulu Terengganu untuk dijadikan cawangan kedua.
"Di situ, kita bangunkan rumah perlindungan lelaki, satu rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak, surau, bengkel jahitan dan bengkel penyediaan cili boh sebagai sumber kewangan.
"Pada 2018, Baitul Cakna yang ketiga diwujudkan di Kampung Jambu Bongkok dekat Marang, juga menggunakan pendekatan sama dari segi pemulihan rohani dan emosi melibatkan kerjasama polis, AADK, Kementerian Kesihatan dan komuniti setempat," katanya.
Ketika ini, terdapat 70 penghuni di tiga premis Baitul Cakna dan kebanyakan mereka yang sudah pulih daripada ketagihan dadah kini berkhidmat secara sukarela untuk membantu penghuni baharu.
Terkini, Dr Mahani turut berjaya membantu kerajaan negeri untuk memulihkan bekas penagih dadah melalui perkampungan khas yang dikenali sebagai Darul Barokah di Marang yang dilengkapi rumah dan beberapa projek ekonomi berskala kecil dan sederhana untuk membantu mereka.
"Harapan saya hanya satu agar mereka mampu menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Tiada yang lebih membahagiakan saya selain tangisan gembira bekas penagih dan ahli keluarga mereka sebaik dapat memulakan kehidupan baharu," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Dec 14 2021
Dr Mahani yang menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan berkata penglibatannya dalam kerja amal itu bermula kerana rasa simpati dengan nasib golongan itu yang 'dibuang' keluarga. - Bernama
DNB umum ahli lembaga pengarah baharu merangkumi lima pengendali rangkaian mudah alih
DNB melantik ahli lembaga pengarah baharu, yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin kanan industri telekomunikasi dan teknologi.
Warga emas maut langgar penghadang besi di Gua Musang
Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terlanggar penghadang besi di Jalan Persiaran Raya susur Taman Damar, Gua Musang.
Tun Abdullah dimasukkan ke IJN, dalam keadaan stabil - Keluarga
Keadaan Abdullah dilaporkan stabil dan masih dirawat di Unit Penjagaan Koronari (Coronary Care Unit).
[TERKINI] Tun Abdullah dimasukkan ke IJN, keadaan stabil
Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada Rabu kerana mengalami Small Spontaneous Pneumothorax.
[TERKINI] UM mohon maaf, ambil tindakan segera tangani situasi
Universiti Malaya kesal dengan kenyataan kontroversi penceramah jemputan warga asing yang tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular dalam laman media sosial.
Malaysia-Jepun tekad perkukuh kerjasama dalam sektor pembinaan
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perjanjian persefahaman dapat membuka peluang kepada pemain sektor pembinaan Malaysia meneroka pasaran Jepun selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan kedua-dua negara adalah ahlinya.
Hati-hati akaun fleksibel, guna sewaktu persaraan - Pakar
Pencarum seharusnya lebih berhati-hati dan merancangan kewangan dengan lebih baik susulan pengenalan akuan fleksibel Kwsp yang baharu.
Panel lima hakim Mahkamah Rayuan akan dengar permohonan Muhyiddin
Muhyiddin memohon bagi mendapatkan kebenaran menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengembalikan semula empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.
Dua maut kereta terbabas dan terbalik di Kuala Krai
Seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Pahi, pada Rabu.
MCMC kesan individu salah guna AI, sunting gambar aib - Fahmi
Langkah itu bertujuan membolehkan tindakan tegas diambil serta memastikan keselamatan pengguna dalam talian khususnya kanak-kanak, terjamin.
Keikhlasan Dr Mahani bantu penagih dadah di Terengganu terima pengiktirafan
Dr Mahani Nordin menjadi rakyat Terengganu pertama yang menerima anugerah itu pada majlis Gala Reben Merah yang diadakan di Kuala Lumpur Jumaat lepas.