PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis menyifatkan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais sembilan tahun lalu sebagai suatu kejadian luar biasa daripada yang biasa-biasa.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi enam lelaki hukuman gantung atas sabitan kesalahan membunuh Kevin, sembilan tahun lalu.

Mereka selaku perayu pertama hingga keenam itu ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34 serta S Nimalan, 31.

[TERKINI] Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman mati enam lelaki bunuh Kevin Morais

Semasa membaca keputusan secara sebulat suara, Hadhariah berkata, mahkamah mendapati kejadian pembunuhan itu sebagai suatu yang dirancang dengan rapi.

Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin berkata, ia berdasarkan keadaan mayat Kevin semasa dijumpai, menunjukkan kekejaman enam lelaki itu.

“Mereka bukan sahaja membunuh mangsa, malah kereta Kevin dibakar dan barang miliknya dibuang.

“Oleh itu pada hemah kami, hukuman yang sepadan dengan kesalahan yang dilakukan semua lelaki itu ialah gantung sampai mati,” katanya.

Hadhariah berkata, kejadian bermula apabila, saksi pendakwaan ke-54 (pemandu, G Gunasekaran) bersama tertuduh ketiga hingga tujuh, mengekori Kevin yang memandu kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur.

Setibanya di lampu isyarat, beliau berkata, tertuduh ketujuh turun daripada kenderaan yang dipandu Gunasekaran selepas kereta mangsa dilanggar oleh sebuah lagi kereta Mitsubishi Triton, pada jam 7.38 pagi, 4 September 2015.

Bagaimanapun, kereta mangsa telah dijumpai terbakar 100 peratus di ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak.

“Di akhir kes pendakwaan hakim mahkamah tinggi menilai, bahawa semua lelaki itu kecuali perayu pertama, dilihat kali terakhir berada bersama mangsa, maka mereka mempunyai peluang untuk mengenakan timbalan pendakwa raya itu.

“Berdasarkan hakim bicara sebab kematian Kevin ialah lemas kerana tidak boleh bernafas, yang mana ia boleh disimpulkan kesemua lelaki itu mempunyai niat bersama semasa melanggar, menculik dan membunuh mangsa,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, berdasarkan dapatan pakar forensik kecederaan dan keadaan mayat mangsa ketika ditemui, menunjukkan kejadian itu tidak boleh dilakukan seorang suspek sahaja.

Berbeza dengan hujahan daripada pembelaan, beliau berkata, enam lelaki ini menyatakan mereka tidak mengenali mangsa, tiada niat atau motif untuk membunuh Kevin.

Beliau berkata, mahkamah mendapati semua isu itu tidak bermerit untuk dipertimbangkan dan pembelaan yang dibangkitkan semua lelaki ini adalah suatu yang difikirkan kemudian.

“Perayu pertama, Kunaseegaran didapati memang mempunyai motif (bunuh) dengan mangsa manakala lima lagi perayu, merupakan orang suruhannya.

“Setelah meneliti semua alasan penghakiman bicara, keterangan yang dikemukakan mahkamah ini, kami dapati hakim itu tidak melakukan apa-apa kekhilafan dari segi undang-undang atau fakta, maka sabitan hukuman yang dikenakan adalah betul,” katanya.

Susulan itu beliau berkata, rayuan enam lelaki terhadap sabitan dan hukuman dalam kedua-dua rayuan, ditolak.

Katanya, sabitan dan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi, dalam kedua-dua rayuan dikekalkan.

Sebelum ini, keenam-enam lelaki itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 yang mensabitkan dan menjatuhi mereka hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Kevin.

Mereka dituduh membunuh timbalan pendakwa raya itu ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015, yang mana sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Ketika hujahan rayuan, Dinishwaran diwakili peguam, M Manoharan manakala peguam-peguam lain iaitu Datuk N Sivananthan hadir bagi pihak Kunaseegaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi).

Sementara pihak responden dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Mohd Fairuz Johari dan Mohd Fuad Abdul Aziz. - Sinar Harian