ALOR SETAR: Polis Kedah sedang menyiasat kejadian letupan sebuah kabin kontena di dalam kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah pada 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.49 petang 18 Oktober lalu.

Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian mendapati terdapat kemusnahan teruk pada kabin kontena berkenaan.

Katanya, kabin kontena itu yang dijadikan stor simpanan diletakkan di bahagian belakang di pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar.

"Polis menemukan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai bahan letupan dan semua sampel yang ditemui telah dihantar ke makmal untuk dianalisis.

"Siasatan awal polis mengesyaki kejadian itu mempunyai unsur khianat kerana menggunakan bahan letupan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Hassan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tempoh 20 tahun atau denda.

Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti suspek terbabit dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

Sebelum ini pada 17 Oktober lalu berlaku kejadian papan tanda dan pagar di Kediaman Rasmi Menteri Besar disimbah cat merah dan biru.

BACA: Pagar kediaman rasmi MB Kedah disimbah cat

Jenayah | Pagar kediaman rasmi MB Kedah disimbah cat