Skip to main content

Malaysia

Kejayaan SJKT Ladang Kinrara bukti pelajar Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia - Ramanan

FACEBOOK - Ramanan Ramakrishnan Official Media
Kejayaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara di World Youth STEM Invention and Innovation 2026, Bangkok, Thailand awal bulan ini, membuktikan bahawa pelajar Malaysia memiliki daya saing tinggi untuk mencatat kecemerlangan di persada antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Kejayaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kinrara di World Youth STEM Invention and Innovation 2026, Bangkok, Thailand awal bulan ini, membuktikan bahawa pelajar Malaysia memiliki daya saing tinggi untuk mencatat kecemerlangan di persada antarabangsa.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kejayaan merangkul "Gold Award", "Panel Choice Award" serta pengiktirafan lima teratas bagi kategori ‘Environmental and Sustainability’ bukan sahaja membuktikan keupayaan luar biasa dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), malah mencerminkan tahap disiplin, ketekunan dan daya saing yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Advertisement

Beliau berkata penyertaan di pentas antarabangsa menuntut persediaan rapi, keberanian serta keyakinan diri yang kukuh dan kesemua pelajar terbabit membuktikan bahawa mereka memiliki semua kualiti tersebut dengan cemerlang.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian Aarthisha Thiban, Aatheesha Moorthy, Keshwine Elattachan, Arvin Kumar dan Puraarni Vivegan yang telah mengharumkan nama sekolah, bangsa dan negara.

“Saya akan mengundang anak-anak hebat ini untuk bertemu dalam masa terdekat kerana saya sendiri ingin mendengar kisah kejayaan dan pengalaman mereka mengharungi cabaran di pentas dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, di sini hari ini.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata kejayaan itu juga ialah manifestasi hasil sokongan padu dan komitmen berterusan para guru serta ibu bapa dalam memperkasakan bakat dan potensi generasi muda.

“Inilah bukti bahawa pelaburan Kerajaan MADANI dalam pendidikan dan STEM akan terus menjadi pemacu pembangunan negara.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melakar lebih banyak inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara, selaras dengan aspirasi kita untuk melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya cipta tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video