MALAYSIA
Kejohanan Wusyu Wanita ASEAN-China simbol perpaduan, keamanan - Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama atlet-atlet selepas Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Wanita ASEAN-China di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Kejohanan Wusyu Wanita ASEAN-China 2025 yang julung kali diadakan diangkat sebagai simbol perpaduan, keamanan dan persahabatan, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ringkasan AI
- Kejohanan Wusyu Wanita ASEAN-China 2025 di Malaysia jadi simbol perpaduan, keamanan dan persahabatan serantau.
- Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terima anugerah kepimpinan, manakala Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh raih anugerah pembangunan sukan wanita.
- Kerajaan melalui MSN labur lebih RM4.3 juta dalam sukan wusyu, dengan 60 peserta ASEAN dan China sertai kejohanan.
"Saya bersyukur hari ini menjadi sebahagian daripada Kejohanan Wusyu Wanita ASEAN-China 2025. Ini merupakan perhimpunan bersejarah yang mengumpulkan atlet, jurulatih, pegawai dan rakan-rakan dari ASEAN dan China yang bukan sahaja bersatu dalam sukan tetapi juga dalam semangat keamanan, persahabatan dan saling menghormati," katanya dalam ucapan pada kejohanan itu di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Pengasas dan Presiden Persekutuan Wusyu ASEAN-China Datuk Dr King Fatt.
Dr Wan Azizah turut mengucapkan tahniah kepada pasukan wusyu negara atas prestasi cemerlang mereka dalam kejohanan dunia di Chengdu, China baru-baru ini apabila Malaysia meraih lima pingat emas termasuk emas dalam acara berpasukan wanita.
Beliau berkata kejayaan itu bukan sahaja membanggakan Malaysia malah menunjukkan potensi besar atlet wanita dalam menaikkan semangat negara.
Dr Wan Azizah juga mengingatkan atlet tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental mereka.
"Tubuh anda ialah 'instrumen' anda yang paling berharga. Prihatin kepadanya. Jaganya dengan rehat yang cukup, air yang cukup dan nutrisi. Tetapi ingat, penjagaan kendiri melangkaui fizikal. Tekanan pertandingan boleh menjadi beban. Ambil masa untuk bertenang, rehat dan mengutamakan diri sendiri. Kesejahteraan anda ialah asas sebenar kepada kejayaan," katanya.
Beliau turut menekankan kepada kepentingan semangat kesukanan, menggesa atlet supaya menghormati lawan mereka dan menghargai persahabatan yang dibina menerusi pertandingan.
Pada acara itu, Dr Wan Azizah menerima anugerah kepimpinan 'ASEAN-China Women's Inspirational Leadership Award 2025' manakala Hannah menerima 'ASEAN-China Women's Sports Development Catalyst Award'.
Hannah ketika ditemui pemberita berkata bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, kejohanan tersebut amat penting terutamanya dalam memberikan pendedahan kepada lebih ramai atlet tempatan untuk bersaing di peringkat ASEAN.
"Hasrat KBS (Kementerian Belia dan Sukan) adalah untuk membawa program-program ASEAN ke setiap negeri dengan pelbagai jenis acara dan negeri ini dipilih bagi menganjurkan sukan wusyu," katanya.
Sementara itu, Hannah dalam ucapannya berkata kerajaan memperkukuh keyakinannya terhadap bakat dan potensi atlet wusyu negara, dengan lebih RM4.3 juta dilaburkan dalam sukan itu tahun ini menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).
Beliau berkata pelaburan besar itu telah menunjukkan pulangan yang memberangsangkan menerusi pencapaian cemerlang kontinjen negara di peringkat antarabangsa baru-baru ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur, negara yang mengambil bahagian dan semua yang telah menjayakan kejohanan ini. Dan kepada para peserta, saya mendoakan yang terbaik untuk anda. Semoga ini menjadi permulaan kepada lebih banyak platform di mana wanita dalam sukan boleh cemerlang, memberi inspirasi dan memimpin," katanya.
Sebanyak 60 peserta dari semua negara ASEAN dan China mengambil bahagian dalam kejohanan itu, yang berlangsung dari 21 hingga 26 Sept ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami