Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata kejujuran ketika berkhidmat kepada rakyat menjadi satu daripada prinsip kepimpinannya sepanjang kariernya sebagai ahli politik.

Beliau berkata semua ahli politik mesti mematuhi prinsip ini bagi menyatukan rakyat yang dipimpin dan bukan mengelirukan mereka.

"Saya katakan apa yang saya katakan dan mungkin seboleh-bolehnya secara berdiplomasi tetapi saya masih menyatakannya. Perkara ini (menyatakan kebenaran) mungkin dilakukan secara lebih jelas dalam kumpulan kecil yang memahami saya dengan lebih baik daripada kumpulan yang besar," kata beliau dalam wawancara khas dengan Bernama di kediamannya pada Khamis.

Dalam temu bual itu, Abdul Taib berkata beliau menghadapi kesukaran pada masa awal kerjayanya sebagai ahli politik apabila kurangnya kefahaman antara kaum kerana rakyat tidak dapat memahami idea-idea beliau.

"Selepas cukup lama berkhidmat, saya fikir rakyat dapat memahami saya dengan lebih baik dan saya menggunakan perkataan "politik pembangunan", sesuatu yang rakyat boleh faham dan berhasrat untuk (mencapainya)," kata beliau.

Abdul Taib, yang akan genap umur 78 tahun Mei ini berkata kerjayanya sebagai ahli politik, yang bermula pada 1963, membolehkan beliau bercampur gaul dengan ramai orang dan keadaan itu dinikmatinya setiap saat.

"Tidak ada masa yang membosankan dalam hidup saya untuk sekian lama. Saya gembira kerana setiap kali saya bercampur gaul dengan orang, saya belajar sesuatu, saya memperoleh sesuatu", kata beliau.

Katanya beliau tidak mempunyai rancangan buat masa ini untuk berkongsi pengalaman dengan menulis buku kerana beliau memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharu beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Abdul Taib, yang akan meletak jawatan sebagai ketua menteri hari ini dan digantikan oleh Tan Sri Adenan Satem, dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu pada Sabtu.

"Ini bukan masanya bagi saya untuk menulis sesuatu dahulu. Saya mahu melihat keadaan dari luar kaca mata ketua menteri," kata beliau.

Selepas bersara, Abdul Taib memberitahu Bernama beliau perlu membuat penyesuaian diri dalam kehidupannya selepas begitu lama menjadi pemimpin politik.

Abdul Taib berharap peranan baharunya akan membolehkan beliau melawat ke seluruh Sarawak untuk berdialog dan bercampur dengan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana bukan berbaur politik.

"(Selepas mengundur diri sebagai Ketua Menteri), saya mahu menjadi rakyat Sarawak yang sebenar dan berasa bebas seperti personaliti rakyat Sarawak (daripada) hanya (dikenali sebagai) ahli politik Sarawak," kata beliau.