KUALA LUMPUR: Tatkala dunia sedang menelusuri arus globalisasi, amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mengekalkan identiti serta jati diri, dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata, sesuai dengan frasa 'perpaduan dalam kepelbagaian', setiap rakyat di negara ini perlu kekal dengan budaya kaum masing-masing dan tidak seharusnya dipaksa mengamalkan budaya kaum lain.

"Kita nak sesuatu yang kita panggil 'rojak', walaupun perkataan itu satu yang negatif, tetapi sekarang bila dah ada persekitaran global, di mana semua orang hampir kehilangan identiti mereka, perlunya untuk kita kekalkan identiti itu, kerana ia lebih berharga.

"Bagi saya, kita mempunyai 'rojak' ini, dan setiap daripada kita perlu mengekalkan budaya itu.

"Orang Melayu dengan budayanya, orang Iban dengan budayanya dan tidak ada paksaan untuk orang Melayu menjadi orang Cina dan sebaliknya atas nama Malaysia.

"Yang kita kena kekalkan ialah kita sebagai rakyat Malaysia. Bersatu dalam kepelbagaian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), bertajuk 'Dasar Perpaduan Negara 2021-2030: Realitinya' bersama menterinya Datuk Saifuddin Abdullah, yang disiarkan di Facebook Live KKMM, saluran TV1 RTM dan Bernama TV malam tadi.

Sementara itu, menyentuh mengenai komuniti digital atau warganet Madeline berkata, meskipun usaha mengendalikan komuniti itu dilihat begitu mencabar, namun ketika wabak COVID-19 melanda negara ini, wujud kebaikan yang dipamerkan rakyat pelbagai kaum dan agama, seperti perkongsian secara besar-besaran dalam menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Katanya, perkara itu secara tidak langsung membawa kepada satu bentuk perpaduan yang perlu dipupuk di negara ini.

"Kalau dulu, kita terhad dengan sempadan fizikal kita, tapi sekarang dengan sekelip mata apabila suatu insiden berlaku, kita tak kenal dia dari Malaysia atau dari mana, kita akan bantu.

"Dalam zaman COVID-19 ini, ramai terputus makanan misalnya, jadi orang dah tak perlu bergantung sangat kepada kerajaan (untuk menghulurkan bantuan).

"Dalam satu perkara, di satu pihak ia menimbulkan cabaran, tapi di satu pihak yang lain, ia membawa kepada bentuk perpaduan yang saya rasa kita perlu pupuk dan kita sepatutnya tidak takut," katanya.

Pada 15 Feb lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif, demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya.

Berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, dasar itu menetapkan strategi jangka panjang dalam usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan, dalam kalangan rakyat.

-- BERNAMA