MALAYSIA
Kelantan catat peningkatan kencing manis, kolestrol - Dr Dzulkefly

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati penyakit kencing manis dan kadar kolesterol dalam kalangan rakyat di Kelantan telah mencatatkan peningkatan melebihi indikator purata nasional, kata Dr Dzulkefly. - Gambar fail
KOTA BHARU: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati penyakit kencing manis dan kadar kolesterol dalam kalangan rakyat di Kelantan telah mencatatkan peningkatan melebihi indikator purata nasional.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 16.3 peratus rakyat di Kelantan menghidap penyakit kencing manis, iaitu peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding indikator purata nasional 15.6 peratus.
"Kadar kolesterol tinggi juga turut menunjukkan peningkatan dalam kalangan rakyat di Kelantan dengan mencatatkan 34.9 peratus (indikator purata nasional 33.3 peratus)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin.Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, bagi kategori berat badan berlebihan (obes) di negeri ini pula, sebanyak 51.6 peratus direkodkan (indikator purata nasional 54.4 peratus) manakala penyakit darah tinggi mencatatkan 27.9 peratus (indikator purata nasional 29.2 peratus).
"NHMS 2023 menunjukkan dapatan yang saya kira amat membimbangkan, walaupun Kelantan mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam beberapa indikator berbanding paras nasional.
"Bagi mendepani cabaran ini, KKM telah memperkenalkan dan melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sebagai platform untuk menggerakkan pembudayaan gaya hidup sihat secara menyeluruh," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami