MEMILIH golongan wartawan sebagai penerima Anugerah Persuratan Negeri Perlis adalah pengiktirafan terhadap sumbangan bidang kewartawanan terhadap perkembangan dunia kesusasteraan, pemikiran dan tradisi intelektual masyarakat di negara ini.
Mantan Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain yang menerima Anugerah Persuratan Negeri Perlis di Kangar pada Khamis lalu berkata, sejarah membuktikan bahawa kewartawanan dan persuratan mempunyai hubungan yang sangat rapat sejak sebelum negara mencapai kemerdelaan lagi.
Anugerah Persuratan Negeri Perlis adalah salah satu anugerah dalam Anugerah Sastera Negeri Perlis 2026 yang julung kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perlis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perbadanan Perpuatakaan Awam Negeri Perlis.
Anugerah kepada penerima telah disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Anugerah utama iaitu Sasterawan Negeri Perlis diberikan kepada mantan pensyarah Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara), Dr Abdul Rahim Abdullah yang melibatkan diri dalam dunia kesusasteraan selama lebih enam dekad.
Abdul Rahim yang juga mantan pegawai perancang bahasa DBP banyak menghasilkan karya-karya kritikan dan penyelidikan kesusasteraan.
Menurut Ku Seman, wartawan yang mempunyai kesedaran intelektual tidak sekadar melaporkan peristiwa termasuk hal-hal berkaitan kesusasteraan, tetapi meneliti sebab-sebab sesuatu peristiwa itu berlaku, memahami sosiobudaya dan mempersoalkan kesannya kepada masyarakat.
“Kewartawanan bukan bidang yang terpisah daripada dunia ilmu dan kesusasteraan, sebaliknya merupakan salah satu cabang penulisan yang mempunyai kekuatan dalam menghubungkan pemikiran dengan realiti kehidupan masyarakat,” tegas Ku Seman yang lebih 40 tahun dalam bidang kewartawanan.
Menurutnya, kedua-dua bidang persuratan itu, kewartawanan dan kesusasteraan telah lama menjadi wadah menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan serta menjadi alat perjuangan menuntut kemerdekaan sejak sejak dekad 1930-an.
“Kewartawanan bukan sahaja membawa maklumat kepada masyarakat, tetapi yang lebih besar adalah membuka kefahaman dan pemikiran khalayak terhadap bidang kesusasteraan yang sangat penting dalam kehidupan manusia,” jelas Ku Seman.
Ku Seman yang meletakkan jawatan Pengarang Mingguan Malaysia pada 2016 telah menghasilkan dua buku, Anekdot Ku Seman yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada 2018 dan Kata Ku Seman diterbitkan oleh Puteh Rona Dagang pada 2023.
Kini beliau terus melibatkan diri dalam kewartawanan sebagai wartawan bebas.