Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: ‘Tidur tak lena, pagi-pagi sudah beratur’

Pasangan suami isteri, Liew Chee Ping dan Tan Siw Choo ketika selesai mengundi di SK Jeram. - Astro AWANI
Pasangan suami isteri, Liew Chee Ping dan Tan Siw Choo ketika selesai mengundi di SK Jeram. - Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Pengundi di DUN Tanjung Bidara, termasuk pasangan warga emas dan pengundi muda, hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab pada PRN Melaka ke-16.
  • Pengundi berharap wakil rakyat dan kerajaan baharu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda.
  • DUN Tanjung Bidara menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dengan 15,003 pengundi berdaftar.
Advertisement

MASJID TANAH: Teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sehingga sukar melelapkan mata menjadi pengalaman pasangan suami isteri, Liew Chee Ping, 66, dan Tan Siw Choo, 62, pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pasangan itu antara yang terawal tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram sekitar jam 7 pagi bagi memilih wakil rakyat baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Chee Ping berkata, mereka mengambil keputusan keluar awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sebelum membuka kedai runcit di pekan.

Advertisement

“Saya ada perniagaan, pukul 9 atau 10 pagi kena buka kedai runcit di Masjid Tanah.  

“Jadi, mudah kalau datang awal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Advertisement

Mengulas harapannya, Chee Ping berkata, soal kemenangan mana-mana parti bukan keutamaanz

Sebaliknya, anak jati Tanjung Bidara itu berharap kerajaan serta wakil rakyat yang dipilih dapat memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara.

Katanya, keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini bukan sahaja dirasai di Malaysia, malah turut melanda negara lain di seluruh dunia.

“Ekonomi sekarang tidak berapa baik, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia. Saya berharap wakil rakyat dan kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk meningkatkan ekonomi negara,” ujarnya lagi.

 

Harapan pengundi pertama kali

Sementara itu, pengundi muda yang juga pengundi kali pertama, Akmal Wafiq Johari, 19, berharap pemimpin yang diberi mandat dapat membawa perubahan dan kemajuan lebih besar kepada negeri Melaka, khususnya dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah itu berkata, dia juga teruja dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama

“Saya rasa teruja dan berharap kerajaan yang saya undi ini dapat membawa perubahan besar kepada negeri Melaka.

“Saya juga berharap tiada projek pembangunan yang terbengkalai di Melaka dan negeri ini terus mencapai kemajuan,” ujarnya.

Image
KAPSYEN: Akmal Wafiq Johari (kiri) dan Muhd Aris Abdul Aziz (kanan)_AWANI

Sementara itu, pengundi muda, Muhd Aris Abdul Aziz, 24, berkata dia mengambil kesempatan hadir awal ke pusat mengundi kerana sudah menjadi kebiasaannya bangun pagi.

Katanya, pengalaman pertama kali mengundi menimbulkan perasaan teruja dan sedikit gementar.

Bagaimanapun, dia juga berharap wakil rakyat yang dipilih dapat memberi perhatian kepada keperluan golongan muda.

“Saya memang selalu bangun awal dan alang-alang sudah bangun, saya terus datang ke pusat mengundi.

“Ini kali pertama saya mengundi, jadi memang ada rasa teruja dan gementar. Saya berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Bagi PRN Melaka ke-16, DUN Tanjung Bidara mempunyai seramai 15,003 pengundi berdaftar.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga Ketua Menteri Melaka dan calon Pakatan Harapan (PH), Yunazri Mustamiri.

 

 

Must Watch Video

Advertisement