KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Kelantan menyasarkan 10,000 penggunaan pasport muzium oleh pelawat termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata pasport muzium berharga RM10 yang sah seumur hidup dan pertama kali diperkenalkan di negeri itu, didatangi dengan dua warna iaitu merah untuk pelajar dan biru untuk pelawat awam.

"Pemegang pasport boleh berkunjung ke sembilan muzium yang ada di Kelantan dengan hanya sekali bayaran iaitu RM10 berbanding bayaran RM2 setiap kali masuk, sebelum ini," katanya kepada pemberita pada Program Pelancaran Pasport Muzium di Gelanggang Seni di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan Ahmad Shargowi Derahman.

Menjelas lanjut, beliau berkata bagi pelajar yang menggunakan pasport muzium itu, ia akan dikira sebagai markah kokurikulum di sekolah dan telah mendapat pengiktirafan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

"Malah kehadiran pelajar ke muzium menggunakan pasport ini akan dikira sebagai markah kokurikulum bagi penyertaan di peringkat negeri," katanya menambah markah kokurikulum itu dapat digunakan untuk kemasukan ke institut pengajian tinggi.

Jambatan gantung putus

Sementara itu ketika ditanya mengenai kejadian kabel jambatan gantung putus di Lata Keding, Bukit Kudung, Ayer Lanas di Jeli, pada Jumaat lepas, Md Anizam berkata pengusaha pusat rekreasi digesa agar sentiasa menjaga keselamatan fasiliti di kawasan pelancongan termasuk keselamatan pengunjungnya.

"Sekiranya kawasan berkenaan masih dalam proses pembaikan atau menaik taraf, ia perlu dimaklumkan kepada pengunjung bahawa kawasan itu tidak selamat.

"Papan tanda amaran perlu diletakkan selain pemantauan oleh petugas ataupun pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Ketua Jajahan sekiranya perlu," katanya.

Menurutnya, insiden jambatan runtuh di bawah fasiliti pelancongan milik swasta itu merupakan kejadian pertama yang berlaku di negeri ini dan pihak polis dan PBT sedang menjalankan siasatan.

Dalam kejadian Jumaat lepas (19 Mac), beberapa pengunjung ke pusat rekreasi itu cedera ringan selepas kabel penyambung jambatan gantung yang sedang diselenggara, telah terputus.

Jambatan gantung merintangi anak sungai itu dibina setinggi kira-kira lima meter dan sepanjang 30 hingga 40 meter itu dikatakan masih dalam pembinaan dan terdapat notis pemberitahuan mengenai status penyelenggaraan, namun pengunjung tetap menaikinya.

-- BERNAMA