BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai keldai akaun kepada sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud hingga menyebabkan mangsa kerugian RM32,597, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di Bayan Lepas, pada Rabu oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

"Pihak polis telah menerima laporan daripada mangsa bersangkut laporan di Bayan Lepas yang telah terpedaya pelaburan dalam talian tidak wujud oleh sindiket penipuan dan bertindak daripada itu, kita berjaya menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa telah melakukan transaksi ke beberapa akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM32,597," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata lelaki itu kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA