TELUK INTAN: Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan mencederakan adik perempuan tirinya, Isnin lalu.

Tertuduh, L Thiyagaraj, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret T Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas L Dewi, 31, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.

Duda kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Muhibbah, Teluk Intan sekitar jam 8 malam pada 8 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Aisyah Mat Isa manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh tidak boleh berjumpa mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 9 Mei ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa yang mendakwa cedera ditikam abang tirinya di bahagian belakang badan.

Kejadian sekitar jam 8.30 malam itu bermula daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan tertuduh sebelum lelaki itu yang juga mabuk bertindak mengambil pisau pemotong sayur dan menikam mangsa. - Sinar Harian