Mana-mana Ahli Parlimen yang didapati mengeluarkan kata-kata kurang sopan akan dikenakan tindakan tegas termasuk dihalau keluar daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat untuk satu tempoh tertentu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menegaskan tindakan tersebut diambil bagi mewujudkan suasana yang tenteram dalam Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen sedang berbahas.

"Sesiapa sahaja yang timbulkan riuh rendah di dewan ini dan gunakan perkataan yang kurang sopan harus diambil tindakan tegas tidak kira dari pihak mana. Semua Ahli Parlimen hendaklah mengikut peraturan mesyuarat.

"Sekiranya ada sesiapa yang menyebut perkataan sebegini (bodoh, stupid) dan apabila ditegur atau disuruh oleh Speaker atau Timbalan Speaker untuk tarik balik, namun enggan berbuat demikian dan terus menimbulkan kekecohan, saya ikut nasihat ramai untuk singkir mereka keluar dewan bagi satu tempoh tertentu," katanya.



Dilaporkan Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar melemparkan perkataan 'bodoh' kepada Ahli Parlimen Jelutong R.S.N Rayer kerana mencelah ketika beliau membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 atau Belanjawan 2020 pada 16 Okt lepas.

BACA: Panggil Speaker Dewan Rakyat 'berat sebelah', MP Baling digantung dua hari

BACA: Istilah "rompak" kecohkan Dewan Rakyat

BACA: Dewan Rakyat kecoh gara-gara p*****k

BACA: Parlimen kecoh kerana 'kepala bapak'

BACA: Dewan Rakyat tercemar dengan kata-kata kesat

Rayer dilaporkan turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap Noh ketika mencelah semasa perbahasan tersebut.

Susulan itu, Mohamad Ariff mengarahkan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut supaya menarik balik kata-kata kurang sopan yang dilemparkan dan kemudiannya ditarik walaupun berlaku sedikit kekecohan antara mereka.

-- BERNAMA