KUALA LUMPUR: Seramai 493 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 484 dikompaun manakala sembilan lagi individu direman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia adalah hasil 70,696 pemeriksaan yang dibuat Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

"Antara kesalahan yang direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (133), tiada penjarakan fizikal (132), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (117), tidak memakai pelitup muka (70), aktiviti Pusat Hiburan (15), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (13), keluar rumah tanpa alasan munasabah (5), aktiviti sukan (2) dan lain-lain (6)," katanya dalam kenyataan media harian, pada Ahad.

Dalam pada itu, seramai 13,998 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 52 didapati positif.

Secara kumulatif, seramai 426,923 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19.

Daripada jumlah ini, seramai 7,778 orang telah disahkan positif manakala 419,145 lagi adalah negatif.