Berucap pada majlis memperingati Karpal malam tadi, Gobind berkata pihaknya sedar bahawa ada desakan daripada pengamal undang-undang yang mahukan Peguam Negara menggugurkan rayuan untuk menambah hukuman ke atas Karpal.
Namun beliau menegaskan keluarganya mahu meneruskan kes itu demi untuk membersihkan nama baik mendiang.
"Kami tidak perlukan pertolongan daripada Peguam Negara. Kami tidak perlukan simpati beliau. Kami tidak akan berundur... kami akan terus berjuang hingga ke akhir, kerana (Karpal) juga akan berjuang hingga ke akhir," katanya kepada lebih kurang 3,000 orang yang hadir pada majlis Malam Kenangan Saudara Karpal Singh itu.
Gobind ketika berucap di majlis "Malam Kenangan Karpal Singh" pada Khamis - Foto Astro AWANI
Karpal dikenakan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati sabit tuduhan di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ketika krisis perlembagaan Perak pada 2009.Karpal memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu dan menunggu hakim bicara menyiapkan alasan penghakiman.
Mendiang bagaimanapun meninggal dunia pada 17 April lalu selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gopeng. Nahas itu turut meragut nyawa pembantu peribadinya, Michael Cornelius.
Karpal didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu sidang media di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 November 2009. Beliau bagaimanapun membela diri dengan mengatakan bahawa kenyataannya itu adalah satu pendapat undang-undang dan bukannya hasutan terhadap Sultan Perak.
Dalam pada itu, Gobind mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas ucap takziah dan simpati yang mereka rakamkan kepada keluarganya ketika saat-saat sukar ini.
Beliau meminta mereka untuk meneruskan perjuangan Karpal dan menyelesaikan apa yang mendiang mulakan semasa hayatnya iaitu untuk membentuk sebuah Malaysia yang saksama dan adil.
"Saya yakin anda semua akan membantu saya menyebarkan mesej mendiang ayahanda saya. Kita harus kuat. Perjuangan mesti diteruskan. Jangan main-main. Harimau terus hidup," katanya, merujuk kepada gelaran kepada Karpal sebagai Harimau Jelutong.
Majlis itu adalah siri jelajah memperingati Karpal anjuran DAP di beberapa negeri. Ia turut disertai oleh beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam ucapannya menyifatkan pemergian Karpal sebagai kehilangan seorang pembela hak asasi manusia, demokrasi dan keadilan.
Beliau turut menyifatkan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sebagai 'peguam kepada semua peguam' yang tegas dan berpegang kepada prinsip tanpa mengira kawan ataupun lawan.
"Tidak ada Ahli Parlimen lain yang seberani beliau," kata Mohamad.
Dalam pada itu, pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai meminta rakyat mengenang Karpal dengan melaksanakan perjuangannya ke arah Malaysia yang lebih baik.
"DAP berjanji akan melakukan yang terbaik dalam pilihan raya akan datang (untuk mengalahkan Barisan Nasional)," katanya.
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan pemergian Karpal sebagai satu kehilangan peribadi kerana mereka sama-sama berjuang dalam parti sejak selepas tragedi 13 Mei 1969.
Katanya, tiada penghormatan lain yang lebih baik untuk Karpal selain perjuangannya diteruskan demi keadilan dan demokrasi.
Mesej sama juga disuarakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengenang Karpal sebagai seorang yang optimis.
Majlis lebih kurang empat jam itu turut diserikan dengan bacaan puisi oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said dan aktivis Hishamuddin Rais.