KUALA LUMPUR: Keluarga Truper Abdul Hamid Talib memohon bantuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi mendapatkan siasatan yang adil dan telus berhubung kejadian yang menyebabkan anggota komando itu cedera parah di Kem Iskandar, Mersing, pada 11 Mac lalu.
Peguam keluarga, Rania Aljunied menyerahkan memorandum kepada Suhakam selepas keluarga mendakwa belum menerima sebarang penjelasan atau perkembangan siasatan daripada pihak berkuasa, biarpun selepas dua laporan polis dibuat.
"Kami menyeru kepada Suhakam untuk mendapatkan satu siasatan terhadap kes ini kerana sehingga kini tiada apa-apa tindakan dilakukan. Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kerajaan juga tidak memberikan sebarang penjelasan kepada keluarga mengenai apa yang telah berlaku.
"Kami tiada pilihan selain mendapatkan bantuan Suhakam kerana kerajaan tidak memberikan sebarang pertolongan. Kami berharap Suhakam dapat membantu mendapatkan keadilan kepada keluarga Truper Abdul Hamid dan memastikan satu siasatan yang adil serta telus dijalankan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada di pejabat Suhakam, pada Jumaat.
Menurut Rania, Suhakam memaklumkan proses pendaftaran kes dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari sebelum seorang pegawai dilantik bagi mengendalikan kes berkenaan.
Katanya, pegawai itu kemudian akan mengambil keterangan daripada ahli keluarga selain mendapatkan penjelasan daripada semua agensi berkaitan sebagai sebahagian daripada siasatan.
"Pada masa ini kami akan menyerahkan perkara ini kepada Suhakam terlebih dahulu. Jika tiada tindakan atau perkembangan selepas ini, kami tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan semua agensi berkaitan," katanya.
Sementara itu, kakak mangsa, Noreliana Sajali berkata keadaan kesihatan adiknya merosot selepas menjalani pembedahan memasang implan titanium bagi menggantikan sebahagian tempurung kepala yang dibuang sebelum ini.
"Sebelum pembedahan dia masih ada respons. Bila keluarga datang dia nampak dan apabila kami suruh bersalam, dia boleh memberi reaksi.
"Tetapi selepas pembedahan pemasangan titanium itu, keadaannya merosot dan tidak lagi boleh memberi sebarang reaksi," katanya.
Truper Abdul Hamid, 25, mengalami kecederaan otak traumatik yang serius selepas satu insiden di Kem Iskandar, Mersing pada 11 Mac lalu sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian tengkoraknya.
Laporan perubatan penuh yang diterima keluarga baru-baru ini menunjukkan mangsa kini mengalami lumpuh keempat-empat anggota badan (quadriplegia) dan berada dalam keadaan vegetatif di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Tentera Darat sebelum ini memaklumkan siasatan dalaman telah selesai manakala siasatan PDRM juga telah dilengkapkan. Hasil siasatan itu, PDRM dilaporkan merampas sebatang rotan sepanjang 72 sentimeter dan menahan dua anggota tentera berusia 24 tahun dari kem berkenaan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, keluarga mendakwa tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak Tentera Darat berhubung perkembangan siasatan, sebaliknya hanya dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan isu kos rawatan.