KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Mualim Muda Musim Pertama, Astro Oasis kembali meneruskan misi melahirkan ikon pemimpin Islam generasi baharu menerusi Mualim Muda Musim 2 dengan siaran pertama bermula jam 9 malam ini.
Program realiti berteraskan ilmu dan dakwah ini tampil dengan pendekatan yang lebih segar, mencabar dan relevan dalam usaha mencari anak muda Muslim yang bukan sahaja berilmu agama, tetapi juga mampu memimpin, mempengaruhi dan berkhidmat kepada masyarakat dalam dunia yang sentiasa berubah.
Menurut Naib Presiden Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, musim kedua Mualim Muda turut membawa pendekatan baharu dalam menampilkan identiti seorang figura agama.
"Mualim Muda 2 memperkenalkan pelbagai pembaharuan yang menjadikan perjalanan peserta lebih mencabar dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat masa kini, selaras dengan tema 'Pemuda Berjiwa Dakwah, Kini Dengan Misi Lebih Besar',” katanya dalam satu kenyataan.
Antara lain, musim ini mengetengahkan peserta yang bukan sahaja memiliki kefahaman agama yang kukuh, malah mampu mengaplikasikan nilai Islam dalam kehidupan sebenar.
Beliau berkata, elemen utama ialah cabaran komuniti dunia sebenar, perbincangan isu semasa yang dekat dengan generasi muda, serta penghasilan kandungan dakwah digital yang kreatif dan relevan.
Selain pendakwah terkenal Dr Kamilin Jamilin, program realiti ini turut membawa kembali pendakwah bebas Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustazah Asni Masnor sebagai juri.
Manakala, Ustaz Shahrizan Daud kembali sebagai Mursyid (Pengetua) bagi program ini, membimbing serta memberi motivasi kepada para peserta.
Musim ini juga turut menampilkan Atu Zero yang digandingkan bersama penyanyi nasyid Fakhrul UNIC untuk mengemudi pentas sebagai hos program.
Program Mualim Muda 2 disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Prima (saluran 105), serta boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Jangan ketinggalan menyaksikan program realiti ini kerana pada malam pembukaan, terdapat persembahan istimewa daripada Rabbani dan peserta Big Stage Rocketfuel, Adam Nazmi.