Keluarga Medina bersyukur, dana pembedahan hati mencukupi

Muhammad Ikmal Haziq Mazlan dan isteri Norfazlinah Ibrahim bersama anak mereka Nur Asyura Medina yang menderita penyakit Biliary Atresia ketika ditemui di Kampung Serkam Tengah, di Jasin hari ini. - Foto Bernama
JASIN: Harapan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun empat bulan Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq, yang menderita penyakit Biliary Atresia sejak lahir, kembali bersinar apabila wang pembedahan sebanyak RM180,000 yang diperlukan telah mencukupi.
Ringkasan AI
- Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun empat bulan yang mengidap penyakit Biliary Atresia, menerima sumbangan RM180,000 untuk pembedahan selepas menghadapi kekurangan dana sebelum ini.
- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, memberikan sumbangan peribadi RM120,000 kepada keluarga Nur Asyura Medina, menunjukkan kebaikan dan pengorbanan.
- Keluarga Nur Asyura Medina mengalami momen dramatik apabila jantung anak mereka berhenti seketika sebelum berjaya diselamatkan, dan mereka masih memerlukan bantuan untuk kos susu khas dan ubat-ubatan selepas pembedahan.
"Dr Muhammad Akmal telah datang berziarah pada Rabu lepas, dan beliau ada bertanyakan jumlah kos yang masih belum mencukupi, tanpa berfikir panjang beliau menyatakan hasrat untuk membantu keluarga kami.
"Antara ayat beliau yang saya tidak akan lupakan ialah, jika wang RM120,000 itu beliau simpan bertahun-tahun untuk menunaikan haji bersama dengan isteri, apalah erti ibadahnya itu jika membiarkan nyawa anak kecil yang sedang bertarung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serkam Tengah, di sini hari ini.
Muhammad Ikmal Haziq berkata dia amat berterima kasih dengan Dr Muhammad Akmal dan kebaikan itu akan dikenang sepanjang hayatnya selain menyifatkan pengorbanan itu bukan mudah dilakukan, namun dapat memberikan harapan kepada anaknya yang lebih mesra dipanggil Medina itu terus berjuang untuk hidup dan membesar seperti kanak-kanak lain.
Katanya, mereka juga berterima kasih kepada ADUN Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang telah membantu meuar-uarkan usaha mengumpul dana kos pembedahan terbabit ketika mereka buntu kerana baki dana belum mencukupi.
Dalam pada itu, Muhammad Ikmal Haziq berkata pada Januari lepas, mereka pernah mengalami detik mencemaskan apabila jantung Medina terhenti kira-kira 45 minit dan segera dibawa menaiki ambulans untuk mendapat rawatan di Hospital Melaka.
"Ketika tiba di wad kecemasan, keajaiban Allah benar-benar berlaku apabila Medina tiba-tiba membuka matanya ... bantuan yang diterima hari ini telah memberikan satu lagi harapan baharu untuk melihat Medina terus berjuang melawan sakitnya kerana saya dan isteri tidak sanggup lagi melihatnya menanggung kesakitan," katanya.
Muhammad Ikmal Haziq berkata segala persediaan untuk ke China telah dilakukan dengan bantuan Biliary Atresia Malaysia Association (BAMA) dan dijangka mereka berangkat pada minggu depan.
Bagi meneruskan rawatan dan kehidupan selepas pembedahan, keluarga itu masih memerlukan bantuan berikutan terpaksa menampung kos susu khas dan ubat-ubatan yang mencecah RM5,000 sebulan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya menerusi Akaun Bank Islam 05049020332559 atas nama Muhammad Ikmal Haziq Mazlan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


