PUTRAJAYA: Keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali masih menunggu laporan rasmi Institut Jantung Negara (IJN) berhubung punca kematian tokoh negara itu yang meninggal dunia pagi Isnin.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihak keluarga menyerahkan kepada IJN untuk memberikan penjelasan lanjut sekiranya perlu memandangkan mereka bukan pakar dalam bidang perubatan.
“Yang itu saya menunggu pengumuman daripada IJN sekiranya perlu. Sebab kami bukan pakar.
“Maka, pengumuman daripada IJN yang akan mengeluarkan kenyataan mungkin, kalau perlulah, berkenaan sebab-sebab kematian Allahyarham,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas istiadat pengebumian Allahyarham di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada Isnin.
Menurut Mukhriz, keluarga dimaklumkan mengenai keadaan ibunya kira-kira jam 8 pagi sebelum bergegas ke IJN.
“Saya dimaklumkan pihak hospital bahawa beliau mengalami sakit jantung lebih kurang jam 8 pagi dan saya terus bergegas ke IJN.
“Ketika itu, pasukan pakar sedang melakukan CPR ke atas Allahyarham sebelum beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU),” katanya.
Mukhriz berkata, keluarga kemudiannya dimaklumkan bahawa usaha resusitasi akan diteruskan untuk tempoh tertentu sebelum dihentikan sekiranya tiada tindak balas jantung.
“Pada jam 9 pagi, kami dimaklumkan CPR hanya akan diteruskan selama 15 minit lagi dan sekiranya jantung tidak kembali berfungsi, prosedur itu akan dihentikan.
“Ketika itu kami sudah memahami maksud penjelasan doktor dan Allahyarham meninggalkan kami tidak lama kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz menyifatkan dirinya sebagai antara individu paling bertuah kerana masih mempunyai kedua-dua ibu bapa sehingga usia 62 tahun.
“Saya anggap diri saya antara anak yang paling bertuah kerana sehingga pagi tadi saya masih mempunyai ibu dan juga ayah.
“Bukan mudah untuk seseorang menikmati nikmat mempunyai ibu yang hidup sehingga usia 100 tahun. Itu satu tuah yang amat besar buat kami sekeluarga,” katanya.
Beliau turut mengenang Allahyarham sebagai seorang yang sentiasa mengutamakan khidmat kepada rakyat dan negara.
“Sehingga ke saat-saat akhir, beliau masih memikirkan masa depan negara dan rakyat,” katanya.
Mengulas keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz berkata bekas Perdana Menteri itu berada di IJN ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sebelum pulang ke kediaman keluarga.
“Tun berada di IJN bersama kami semua. Mereka telah hidup bersama selama 75 tahun, jadi tentulah beliau sangat sedih dengan kehilangan ini,” katanya.
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan meninggalkan suaminya Tun Dr Mahathir, serta tujuh orang anak. Beliau menghembuskan nafas terakhir di IJN pada pagi Isnin.