KOTA BHARU: Jumlah keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Kelantan sebenarnya melebihi keluasan hutan pengeluaran dan semakin bertambah dalam tempoh lima tahun (2017-2021), kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata setakat tahun lepas, keluasan HSK di Kelantan ialah 629,880.95 hektar berbanding 613,275.43 hektar pada 2017.

Menurutnya pengusahasilan hutan atau pembalakan hanya dibenarkan di hutan pengeluaran manakala hutan perlindungan tidak dibenarkan sebarang akiviti pembalakan dijalankan.

"Malah keluasan HSK pada 2021 iaitu 629,880.95 melebihi keluasan hutan pengeluaran pada tahun yang sama iaitu 468,714.63 hektar.

"Selain itu, Kelantan juga memiliki Hutan Simpanan Kekal Karbon Kredit yang berkeluasan 149,025 hektar pada 2021, kawasan ini bertujuan mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan serta meningkatkan stok simpanan karbon hutan simpan," katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata banyak pihak menuduh seolah-olah Kelantan menebang balak tanpa sebarang pengawasan namun sebenarnya setiap aktiviti pembalakan dilakukan berdasarkan kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT).

Malah beliau mendedahkan kuota CTT Negeri Kelantan bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020 iaitu 27,085 hektar, namun digunakan hanya separuh iaitu 13,054.24 hektar.

"Dalam tempoh lima tahun ini, pembalakan yang dilakukan kurang berbanding kuota yang diberikan. Sebagai contoh hanya 1,277 hektar digunakan berbanding 3,900 hektar kuota yang diluluskan pada 2021.

"Bagi tempoh 2017 hingga 2020, kuota pembalakan CTT yang dibenarkan ialah 5,417 hektar setiap tahun. Namun hanya 3,100 hektar digunakan pada 2017, 2018 (3,147 hektar), 1,858 hektar (2019) dan 2,324.82 hektar (2020)," katanya.

-- BERNAMA