GEORGE TOWN: Pasangan yang sebelum ini tular melakukan aksi kelucahan melampau di sebuah tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Ayer Itam Pulau Pinang, Ahad lepas dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret George Town, hari ini.
Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, mengaku bersalah serta mengakui faham atas pertuduhan yang dihadapi mereka.
Advertisement
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah melakukan perbuatan kelucahan melampau itu di kawasan tanah perkuburan Cina iaitu satu tempat awam di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung, Ayer Itam pada 22 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, R Purantharan.
Dalam prosiding, Shavin memohon hukuman yang wajar dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh sebagai peringatan dan pengajaran selain memberi amaran kepada orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Sementara itu, Purantharan pula merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minima terhadap kedua-dua anak guamnya memandangkan mereka telah membuat pengakuan bersalah.
Mahkamah kemudiannya memutuskan kedua-dua tertuduh dihukum penjara selama 12 bulan mulai dari tarikh mereka ditangkap.
Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat yang memaparkan pasangan lelaki dan wanita dalam keadaan tanpa seurat benang di sebuah jirat Cina.
Perbuatan jelek mereka disedari orang awam lalu telah merakamkan video aksi tidak senonoh pasangan terbabit dipercayai untuk dijadikan bukti laporan polis.