Ringkasan AI
- Nilai kerugian akibat banjir di Selangor pada 2025 meningkat kepada RM52.9 juta berbanding RM22.6 juta pada tahun sebelumnya.
- Kerugian melibatkan kediaman, kenderaan, premis perniagaan, pertanian dan infrastruktur, dengan infrastruktur mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM26.6 juta.
- Jumlah kerugian banjir di Malaysia pada 2025 ialah RM636.9 juta, dengan Terengganu, Kelantan dan Johor merekodkan kerugian tertinggi.
SHAH ALAM: Nilai kerugian akibat banjir di Selangor meningkat kepada RM52.9 juta pada 2025 berbanding RM22.6 juta pada tahun sebelumnya, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.
Beliau berkata berdasarkan Statistik Nilai Kerugian Banjir Negeri Selangor 2024 dan 2025 Jabatan Perangkaan (DOSM) Selangor, kerugian berkenaan merangkumi kerosakan kediaman sebanyak RM15.3 juta, kenderaan (RM4 juta) dan premis perniagaan (RM1 juta).
Mohd Najwan berkata kerugian bagi pertanian dan kerosakan infrastruktur pula masing-masing merekodkan RM 9.6 juta dan RM26.6 juta.
“Berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2025 yang diterbitkan DOSM, nilai kerugian keseluruhan akibat banjir di Malaysia pada 2025 berjumlah RM636.9 juta berbanding 2024 sebanyak RM933.4 juta.
“Semua negeri di Malaysia menerima kesan akibat banjir, dengan Terengganu mencatatkan nilai kerugian tertinggi RM89.2 juta. Ini diikuti oleh Kelantan dan Johor masing-masing merekodkan kerugian RM88.5 juta dan RM72.1 juta,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Batu Tiga) yang ingin tahu berapakah anggaran kerugian ekonomi tahunan akibat beberapa kejadian seperti banjir, kebakaran dan lain-lain.
Dalam pada itu, Najwan berkata pihaknya komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan penyampaian bantuan khususnya bagi mengatasi isu mangsa kejadian banjir berulang dengan perkara berkenaan akan dibincangkan bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri.
-- BERNAMA