Ringkasan AI
- Kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan-Sabah telah selesai dan hasilnya akan dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara tahun depan.
- Pelaksanaan projek bergantung kelulusan agensi pusat serta kedudukan kewangan kerajaan, melibatkan beberapa kementerian utama.
- Kerajaan meluluskan RM100 juta untuk naik taraf Jalan Beaufort-Menumbok dan RM22 juta bagi menaik taraf jeti feri di Labuan.
KUALA LUMPUR: Cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah kini menunggu pertimbangan kerajaan selepas kajian kebolehlaksanaan projek itu selesai pada 15 November lalu, dengan hasilnya dijangka dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) tahun depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Lingi berkata pelaksanaan projek berkenaan memerlukan penglibatan beberapa kementerian termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Wilayah Persekutuan, manakala KKR berperanan melaksanakan kajian teknikal.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen LKabuan Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman di Sidang Parlimen hari ini mengenai sasaran permulaan projek dan kaedah pembiayaannya, beliau berkata perancangan tahun pelaksanaan hanya dapat dimuktamadkan sekiranya projek fizikal diluluskan agensi pusat, selain tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.
Beliau berkata sekiranya dibina, jambatan itu dijangka menghubungkan Labuan secara terus ke Jalan Menumbok di Sabah sebelum bersambung ke persimpangan Lebuhraya Pan Borneo di Beaufort menerusi rangkaian jalan sepanjang kira-kira 70 kilometer (km).
Sementara itu, Nanta berkata kerajaan telah meluluskan RM100 juta di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) RMK12 bagi projek menaik taraf Jalan Beaufort-Menumbok (R502), dari Bulatan Binkul ke persimpangan Terminal Feri Menumbok di Kuala Penyok, Sabah.
“Skop projek itu merangkumi kerja menaik taraf jalan sepanjang 1.1 km dari Sekolah Agama Negeri Menumbok ke Terminal Feri Menumbok, selain pembaikan struktur turapan jalan dan kerja cerun di lokasi terpilih.
“Jalan ini penting sebagai medium sambungan perhubungan antara Sabah dan Wilayah Persekutuan melalui laluan feri buat masa ini, selain menjadi rangkaian penghubung antara Lebuhraya Pan Borneo dengan cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah,” katanya yang turut memaklumkan kerajaan telah meluluskan RM22 juta bagi projek menaik taraf jeti terminal feri kenderaan dan penumpang di Labuan.
Usaha itu bertujuan menambah baik kemudahan perhubungan sedia ada sementara cadangan pembinaan jambatan berkenaan menunggu pertimbangan lanjut kerajaan.