Ringkasan AI
- Isteri Presiden Perancis, Brigitte Macron, melawat Muzium Tekstil Merdeka dan menyifatkan pengalaman tersebut sebagai peluang mengenali warisan tekstil Malaysia.
- Lawatan ini turut membuka ruang potensi kerjasama kebudayaan antara Malaysia dan Perancis serta memperkenalkan Brigitte kepada seni kraf tekstil tradisional tempatan.
- Koleksi muzium merangkumi tekstil dan pakaian tradisional, termasuk sumbangan keluarga Azah Aziz yang memainkan peranan penting dalam pemeliharaan warisan tekstil Melayu.
KUALA LUMPUR: “Satu pengalaman yang amat menakjubkan.”
Demikian gambaran diberikan Brigitte Macron, isteri Presiden Perancis Emmanuel Macron, mengenai lawatan beliau ke Muzium Tekstil Merdeka di sini hari ini yang disifatkannya sebagai peluang untuk mengenali khazanah warisan tekstil Malaysia serta meneroka potensi kerjasama kebudayaan antara Malaysia dengan Perancis.
“Terima kasih saya ucapkan. Lawatan ke muzium ini memberikan suatu pengalaman yang amat bermakna dan membuka ruang kepada potensi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama pada akhir lawatan tersebut di sini hari ini.
Lawatan itu turut menarik perhatian apabila Brigitte berpeluang mencuba sendiri seni sulaman kelingkan tradisional Kelantan dan sambil berseloroh berkata: “Susahnya, bantu saya.”
Beliau berkata demikian bagi mendapatkan bantuan daripada isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berpeluang melihat dan merasai sendiri kehalusan seni kraf tekstil tradisional Malaysia.
Terdahulu, Brigitte disambut mesra oleh Dr Wan Azizah sebaik tiba di ruang legar muzium pada 10 pagi sebelum mengikuti lawatan selama sejam ke lapan galeri yang mempamerkan warisan tekstil negara serta busana klasik Melayu.
Sepanjang lawatan itu, Brigitte diberi penerangan oleh Pengarah Muzium Tekstil Medeka Suryani Senja Alias mengenai koleksi muzium serta kepentingan warisan tekstil Melayu.
Selain mencuba sendiri sulaman kelingkan, Brigitte turut diperkenalkan dengan teknik tenunan tradisional Songket Limar, sekali gus memberikannya peluang untuk melihat dengan lebih dekat kehalusan seni pertukangan tekstil Melayu.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program rasmi pasangan pemimpin yang diatur untuk Brigitte bersempena dengan lawatan dua hari Macron ke Malaysia bermula semalam atas jemputan Anwar, iaitu lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Mei 2017.
Terdahulu, Presiden Macron diberikan istiadat sambutan negara di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, sebelum mengadakan perbincangan dua hala yang dipengerusikan bersama-sama Anwar.
Turut hadir semasa lawatan Brigitte ke muzium berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Antara koleksi yang dipamerkan di muzium itu ialah tekstil dan pakaian tradisional, termasuk kain sarung songket, baju kurung Limar dan tekat emas yang merupakan sebahagian daripada koleksi peribadi Allahyarham Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagoff atau lebih dikenali sebagai Azah Aziz.
Koleksi yang disumbangkan oleh keluarga Azah Aziz itu merangkumi 240 helai pakaian serta 69 barangan perhiasan tradisional.
Azah Aziz, isteri kepada Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid dan ibu kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Ungku Zeti Akhtar Aziz, merupakan tokoh penting dalam usaha memelihara dan mendokumentasikan warisan tekstil Melayu.
Muzium itu turut mendapat inspirasi daripada karya penting Allahyarham, “Rupa & Gaya: Busana Melayu”, yang mengupas tekstil Melayu sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat.
Selain ruang galeri, muzium itu turut menempatkan pusat kajian dan penyelidikan yang dilengkapi makmal konservasi, perpustakaan fabrik serta pusat ilmu tekstil.
Muzium Tekstil Merdeka telah dilancarkan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada 21 Ogos lepas dan dibuka oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan matlamat memelihara dan meraikan warisan tekstil Alam Melayu menerusi penceritaan mendalam serta pengalaman kebudayaan interaktif.
-- BERNAMA