IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh usaha membentuk mahasiswa berintegriti menerusi pelaksanaan Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) yang menjadi platform mendidik pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMa) mengenai nilai antirasuah dan kepimpinan.
Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Samsul Salip berkata, pelaksanan Kem AMAR IPMa setiap tahun secara konsisten menunjukkan komitmen MARA mahupun pelajar IPMa sangat memberangsangkan dengan 31 kem berjaya dilaksanakan sejak 2015.
Beliau berkata, membina karisma mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam masyarakat bukan usaha mudah kerana sejarah membuktikan setiap transformasi sosial, pembaharuan pemikiran dan kebangkitan moral dalam sesebuah negara sentiasa bermula daripada idealisme golongan muda.
"Kem integriti ini direka khas bukan sahaja untuk memberi pendedahan kefahaman, tetapi untuk menyalakan semangat dan integriti tinggi dalam diri pelajar IPMa melalui modul yang dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Samsul berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Sahsiah MARA, Kem AMAR Siri 1 2026 di Pusat Kecemerlangan Pelajar (PUSKEP) MARA Lenggong semalam, dengan kem yang berlangsung tiga hari bermula 21 Ogos itu disertai hampir 100 mahasiswa IPMa.
Majlis perasmian program disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Zahari Aziz dan dihadiri wakil pengurusan MARA negeri serta PUSKEP.
-- BERNAMA