MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Sampel darah pemandu bas diambil, polis rakam keterangan pemandu Alza

Noor Hisam (foto) berkata, sampel darah lelaki berusia 40 tahun itu diambil di Hospital Gerik pada Isnin dan telah dihantar ke Jabatan Kimia di Ipoh untuk dianalisis. -Gambar fail/Bernama
IPOH: Polis telah mengambil sampel darah pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik.
Ringkasan AI
- Polis telah mengambil sampel darah pemandu bas untuk dianalisis bagi menentukan sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah semasa kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI.
- Pemandu dan kelindan bas masih dirawat di hospital, manakala pemandu MPV yang turut terlibat telah memberi keterangan; 10 pelajar masih dirawat dan selebihnya stabil.
- Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.
Noor Hisam berkata, keadaan pemandu dan kelindan bas berusia 53 tahun dilaporkan stabil dan kini masih dirawat di Hospital Taiping.
“Kedua-dua mereka sedang menjalani rawatan mengikut tahap kecederaan yang dialami dalam nahas terbabit,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang turut terlibat dalam insiden itu telah tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Pihak polis mengambil keterangan daripada lelaki itu semalam (Isnin). Isteri serta dua anaknya masih berada di Hospital Baling di Kedah untuk rawatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisam memaklumkan kesemua pelajar yang cedera dan menerima rawatan kini berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, hanya 10 pelajar yang masih dirawat iaitu lapan di Hospital Taiping dan dua di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, manakala selebihnya telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Gerik.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih dan betul daripada pihak berkuasa agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Paling penting, jangan sesekali berkongsi maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya atau diperoleh daripada sumber yang tidak sah,” katanya.
Terdahulu dalam sidang media, Noor Hisam memaklumkan bahawa polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kejadian itu.
Siasatan menyeluruh sedang dijalankan melibatkan pelbagai aspek termasuk dakwaan bahawa bas tersebut dipandu laju.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi Isnin lalu, 15 pelajar disahkan meninggal dunia manakala 27 yang lain cedera.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Terengganu ke Kampus UPSI di Tanjung Malim hilang kawalan sebelum terbalik serta merempuh pembahagi jalan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami