MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: 'Saya jerit minta pelajar bersedia, sedaya upaya elak empat kenderaan' - Pemandu bas

Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar UPSI kini dirawat di hospital. -Sinar Harian
KOTA BHARU: Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, Perak pada Isnin memberitahu dia telah sedaya upaya mengelak empat buah kenderaan termasuk lori sebelum kejadian itu berlaku.
Ringkasan AI
- Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan 15 pelajar UPSI mendakwa telah cuba mengelak empat kenderaan sebelum nahas berlaku, namun brek bas gagal berfungsi di kawasan selekoh.
- Dia menjelaskan bas dipandu dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan menafikan dakwaan bahawa dia hanya pemandu lori yang mengambil upah memandu bas.
- Pemandu itu kini dirawat di Hospital Taiping dan menyatakan dia berpengalaman memandu bas sejak 2016, hanya berhenti seketika semasa pandemik COVID-19.
"Saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk," katanya yang kini sedang dirawat di Hospital Taiping.
Menurutnya, melalui rakaman tersebut akan nampak bas yang dipandu memotong dan dibawa laju.
Ujarnya, dia telah cuba melakukan pelbagai cara, namun dipercayai disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.
"Sedangkan sebelum itu saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain.
"Oleh sebab nahas berlaku di kawasan selekoh, saya tak mampu berbuat apa-apa. Saya menjerit kepada pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga sebaik menyedari brek bas tidak berfungsi," katanya.
Mohd Amirul Fadhil memberitahu, bas dipercayai bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan sebagai pemandu dia cuba mengelak kemalangan.
Sementara itu dia yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, dakwaan orang ramai yang mengatakan dia adalah pemandu lori dan mengambil upah memandu bas tersebut adalah tidak benar.
"Saya sudah berpengalaman memandu bas sejak 2016, namun berhenti seketika kerana Covid-19 dan mencari rezeki sebagai pemandu lori.
"Selepas tamatnya Covid-19 saya kembali menjadi pemandu bas," katanya. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami