KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang terlibat kemalangan jalan raya di Muzdalifah, Arab Saudi baru-baru ini telah dihantar pulang pada awal pagi Selasa dengan penerbangan Saudi Airlines.

Dalam satu kenyataan, Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah memaklumkan seorang lagi mangsa masih berada di Makkah untuk rawatan susulan.

"Keputusan itu dibuat atas nasihat doktor yang merawatnya dan atas permintaan rakyat Malaysia itu sendiri," kata kenyataan tersebut.

[FAIL] Kemalangan di Arab Saudi | Dua rakyat Malaysia masih dirawat di hospital

Sebelum ini pada 12 Jun lalu, pihak KJM Jeddah telah mengadakan lawatan konsular terhadap kedua-dua mangsa yang dirawat di Hospital An Nur dan King Faisal Hospital di Makkah.

Seramai 15 rakyat Malaysia terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas bas dinaiki mereka terbabas di Muzdalifah, Arab Saudi pada 9 Jun lalu.

Menurut Kementerian Luar  dalam kenyataan media yang diedarkan, kesemua mangsa merupakan pekerja di sebuah syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek landasan dan perkhidmatan kereta api di Makkah.