KUALA LUMPUR: Kemalangan jalan raya di ibu negara direkodkan 180 kes sehari membuktikan pertambahan kenderaan mencapai 90 peratus.

Ia selepas hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi seperti biasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefli Yahya berkata, biarpun kerajaan mengumumkan tiada kebenaran untuk merentas negeri akibat penularan wabak COVID-19 yang menunjukkan kes kemalangan jalan raya berkurangan, namun angka kemalangan maut masih berada di paras tinggi di ibu negara.

Pihaknya percaya ia berpunya daripada sikap pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang melebihi had laju yang dibenarkan.

Hasil siasatan mendapati, insiden kemalangan jalan raya berlaku ketika waktu bekerja dan melibatkan jenis kenderaan biasa seperti kereta.

Manakala kemalangan maut kebanyakan terjadi selepas waktu puncak yang membabitkan penunggang motosikal.

"Apabila kenderaan kurang terutamanya pada waktu malam, pengguna jalan raya akan membawa kenderaan dengan laju dan berlaku kemalangan.

"Ketika pelaksanaan PKP kemalangan jalan raya berkurangan tetapi sekarang hari biasa mencatatkan sehingga 180 kes kemalangan sehari," katanya ketika majlis penyerahan juadah berbuka puasa di Plaza Tol Duta semalam.

Tambahnya jika kerajaan masih tidak membenarkan rentas sempadan ketika musim perayaan ini, Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan Op Lancar bagi memastikan keadaan trafik lancar ketika hari perayaan.

Ia juga bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di laluan yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai membeli belah.