ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan dua kenderaan, membabitkan sekumpulan individu disyaki mencuri kabel di kawasan Nusa Bestari di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi melibatkan sebuah kereta dan motosikal itu, kedua-dua mangsa berusia 22 dan 34 tahun yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki serta kepala dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Beliau berkata bagaimanapun, mangsa berusia 22 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira 10 pagi semalam akibat kecederaan parah yang dialaminya.
"Pada peringkat awal, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun kita mengesan satu rakaman video tular mengenai kemalangan terbabit di Facebook.
"Siasatan lanjut mendapati ada unsur jenayah, iaitu mencuri kabel syarikat utiliti dan pihak utiliti di Johor Bahru turut tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Radin Ramlan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain usaha mengesan kesemua suspek giat dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian diminta tampil membantu siasatan atau hubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-511 3622 atau hotline 07-511 4486," katanya.
Sebelum ini, video berdurasi 47 saat memaparkan kemalangan itu tular menerusi media sosial.
-- BERNAMA