Kesesakan lebuhraya di Terowong Menora yang berlaku sekitar pukul 11 pagi tadi kini telah beransur pulih dan lalu lintas juga telah kembali lancar.

Dalam insiden sekitar 11.30 pagi itu, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan jenis Proton Saga dan Proton Saga Aeroback di Kilometer 261.4 telah menyebabkan kesesakan teruk kepada pengguna lalu lintas.

Menurut laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) laluan lebuhraya PLUS ke arah utara telah kembali lancar sekitar jam 1.16 petang selepas usaha penyuraian dan pengalihan kenderaan yang terlibat kemalangan dilakukan sekitar jam 12.12 tengah hari.


“Semua laluan telah dibuka dan insiden selesai sepenuhnya, trafik kembali lancar,” dalam satu petikan Twitter LLM sebentar tadi.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan kejadian kesesakan lalu lintas yang menyebabkan ramai pengguna jalan raya terperangkap di lebuhraya PLUS.