PAPAR: Dua lori rawatan air (LRA) iaitu LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) dan LRA Jetama di Kampung Limbahau di sini diharap dapat beroperasi semula bulan depan bagi membantu meningkatkan tahap bekalan di daerah Papar yang terjejas akibat kemarau.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi terpaksa dihentikan pada 17 Feb lepas setelah sumber air mentah yang sampai ke muka sauk water intake kedua-dua LRA mempunyai kadar kemasinan amat tinggi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata cuaca panas dan kemarau telah melanda Papar hampir dua bulan ditambah pula dengan fenomena El-Nino menyebabkan kemarau dijangka berterusan di daerah itu hingga penghujung Mac.

"Dua loji ini pernah dihenti operasi selama 26 hari pada tahun lepas kerana masalah sama iaitu kemasinan tinggi. Kebiasaannya apabila ada sumber bekalan air seperti hujan khususnya di hulu mengalir ke water intake itu paras kemasinan kurang, air laut pun tidak masuk.

"LRA ini hanya beroperasi bila di bawah kemasinan ditetapkan, kita harap ramalannya bulan April mula hujan dan moga-moga kita dapat sambut Aidilfitri ini dengan ada bekalan air," katanya kepada pemberita selepas Sesi Tinjauan Mesra Program Jualan Rahmah dan Bazar Ramadan Rahmah di Tapak Tamu Mingguan Papar di sini hari ini.

Beliau berkata pemberhentian operasi kedua-dua LRA telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 50,000 penduduk dan antara penyelesaian yang dikenal pasti ialah membina water intake alternatif di Kampung Kabang yang memerlukan kos RM20 juta.

Armizan berkata perkara itu telah disampaikan kepada pihak Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya, yang juga Timbalan Ketua Menteri III.

"Melalui cadangan ini, sekiranya sumber air di dua LRA ini ada masalah lagi, kita ada sumber air di water intake Kampung Kabang yang boleh digunakan untuk membekalkan air kepada penduduk. Saya akan bawa juga perkara ini kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor)," katanya.

Beliau berkata selain itu, projek naik taraf LRA Kogopon yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas sudah 6.3 peratus siap setakat 25 Feb lepas dan dijangka selesai pada Ogos 2026 sebelum ia dapat membantu meningkatkan tahap bekalan air di daerah itu.

"April ini saya akan turun lagi ke tapak projek untuk kali kelima bagi melihat perkembangan projek, tiada kompromi terhadap kontraktor yang perlu menyiapkan projek ini secepat mungkin, sebenarnya projek ini diluluskan pada 2012 tetapi berdepan pelbagai isu.

"Isu bekalan air di sini tidak akan berlaku jika projek naik taraf ini dapat dimulakan pada 2019 dan siap pada 2022... isunya projek ini tidak berjalan, bagaimanapun ini bukan alasan, saya sebagai wakil rakyat akan pastikan projek ini siap sepenuhnya," kata beliau.

-- BERNAMA